Kerajaan Negeri Johor harus pergiat usaha selamatkan sungai

Kerajaan Negeri Johor harus pergiat usaha selamatkan sungai

Hasil dari keluhan orang ramai berkenaan aktiviti pelombongan pasir di kawasan Tenggara, Johor, Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim, hari ini tampil memberi pandangan beliau.

Beliau yang sebelum ini aktif dalam menyelesaikan isu alam sekitar berpendapat bahawa apa yang berlaku di kawasan Tenggara perlu dihentikan dengan segera.

Katanya, aktiviti seperti itu adalah suatu yang tidak memikirkan soal kepentingan sungai di negeri ini dan ia sekaligus banyak membebani masyarakat.

“Ini adalah satu wabak yang perlu ditangani segera. Mengikut tinjauan saya, ia sememangnya tidak memberi sebarang perkara yang positif kepada pihak kerajaan.

“Penduduk kampung hari ini terpaksa menanggung risiko dengan permasalahan yang berlaku dan ini adalah suatu yang tidak bagus.

“Ia menjejaskan ekosistem dan mengganggu mata pencarian orang kampung. Saya akan bertegas untuk membantu menyelesaikan masalah ini,” tegas beliau ketika ditemui.

Sebelum ini, isu di Tenggara ini telah dibawa oleh beliau ketika sidang Dun Johor yang berlangsung pada bulan Ogos yang lalu.

Menurutnya lagi, pihaknya akan sekali lagi membawa perkara ini ke peringkat tertinggi dan beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar bagi menyelesaikan masalah ini.

“Saya melihat kerajaan negeri perlu menyelesaikan perkara ini secepat mungkin kerana ia akan membabitkan kerugian kepada kerajaan.

“Sekiranya mereka adalah pelombong haram, kerugian yang ditanggung oleh pihak kerajaan negeri adalah besar kerana mereka tidak membayar sewa kepada pihak kerajaan.

“Selain itu, penyelenggaraan terhadap sungai, kosnya akan ditanggung oleh pihak kerajaan dan perkara yang paling mustahak adalah kerugian yang ditanggung oleh penduduk serta ekosistem yang telah rosak.

“Kerajaan perlu bertegas dalam hal ini. Sekiranya mereka melanggar prosuder operasi standard (SOP), saya menyarankan agar pihak kerajaan menghentikan perlombongan tersebut,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, pihaknya akan mendapatkan maklumat berkenaan dengan lombong-lombong yang wujud di sekitar Tenggara melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bagi menyemak status perlombongan berkenaan.