Kerajaan Negeri Johor komited selesaikan isu rumah ibadat

Kerajaan Negeri Johor komited selesaikan isu rumah ibadat
Perbincangan Dzulkefly Ahmad (tengah) dengan beberapa wakil dari kuil Sri Mariamman

Kerajaan negeri Johor menyatakan kesungguhan untuk menyelesaikan isu rumah ibadat yang menjadi perkara berbangkit di negeri itu.

Exco Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar, Dzulkefly Ahmad berkata, pelbagai laporan yang diterima oleh kerajaan negeri berkenaan dengan isu itu.

Katanya lagi, penyelesaian tersebut adalah mengikut undang-undang yang termaktub serta beliau turut berharap agar semua pihak dapat menghormati undang-undang.

“Kita akan menubuhkan ‘task force’ bagi menyelesaikan permasalahan ini dan kita akan menyemak semula semua status tanah rumah ibadah yang dilaporkan kepada pihak kami.

“Undang-undang berkenaan dengan pemilikkan tanah seperti di bawah Seksyen 200 Kanun Tanah Negara sebagai suatu panduan kami dalam menjalankan undang-undang tersebut.

“Setakat ini task force ini akan diwujudkan di peringkat awal untuk seluruh kawasan Iskandar Puteri kerana kita maklum sebelum ini terdapat pelbagai masalah yang wujud di sekitar kawasan ini,” ujarnya.

Beliau yang ditemui ketika perbincangan di Kuil Sri Maha Mariamman, Kangkar Pulai, Johor berkata, matlamat kerajaan adalah untuk membantu menyelesaikan permasalahan status tanah rumah ibadat

Dalam pada itu, beliau turut bertanggungjawab menyelesaikan isu yang membabitkan kuil berkenaan yang menjadi pertikaian selama ini.

“Terdapat dua kuil yang menjadi pertikaian. Satu daripadanya adalah yang sudah siap dibina (Sri Mariamman) dan satu lagi adalah kuil yang telah diluluskan oleh kerajaan sebelum ini.

“Tanah ini bertindih dan kuil yang ada ini statusnya masih belum sah dari segi undang-undang. Tuntutan terhadap kuil yang kedua sedang berlangsung.

“Pihak kami hadir hari ini adalah untuk menyelesaikan permasalahan ini serta berunding untuk mengesahkan tanah tersebut kerana pemaju (Lee Pineapple) sebelum ini telah memberikan ruang tanah kepada kuil Sri Mariamman yang berusia lebih 50 tahun ini,” jelasnyalagi.

Beliau juga telah menyatakan matlamat yang utama adalah untuk memberikan status sah sebelum membahagikan tanah kepada dua kuil seperti yang termaktub dalam tuntutan.