Kerajaan Negeri Johor mahu ubah dasar perumahan rakyat

Kerajaan Negeri Johor mahu ubah dasar perumahan rakyat

Dasar Perumahan Rakyat Negeri Johor akan diubah bagi menambah satu kategori baharu untuk golongan pertengahan (M40) di bawah Rumah Mampu Milik Johor yang berharga RM250,000, kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata kajian mengenai perkara tersebut dijalankan sejak dua bulan lepas dan empat bengkel iaitu di peringkat dalaman, bersama agensi-agensi kerajaan, pemain industri serta bengkel bagi membincangkan hasil rumusan pada tiga bengkel itu telah diadakan.

“Dasar ini bagi kawasan Iskandar Malaysia dilaksanakan pada 2012 manakala luar kawasan pula pada tahun 2014. Ini menunjukkan semenjak itu tiada sebarang kajian dilakukan sehingga ia di bawah portfolio saya untuk saya mengkaji dasar itu.

“Tiada timbul kita buat keputusan tergopoh-gapah,” katanya kepada pemberita pada Seminar Agenda Bandaraya Hijau di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menyangkal dakwaan Ketua Pemuda UMNO Johor Mohd Hairi Md Shah yang mengatakan kerajaan negeri sebagai perosak dasar apabila ingin memperkenalkan kategori baharu iaitu untuk golongan M40 yang tiada dalam dasar tersebut.

Katanya tujuan dasar itu diubah bagi memberi peluang dan pilihan kepada golongan M40 untuk memiliki rumah sendiri.

“Sekarang golongan ini tidak boleh membeli rumah RMMJ bawah RM150,000, jadi mereka perlu bersaing dengan pasaran luar yang harganya lebih tinggi. Jadi ini (dasar) akan membantu mereka untuk membeli di bawah RMMJ,” katanya.

Beliau sebelum ini mengumumkan kerajaan negeri akan memperkenalkan kategori baharu untuk M40 dengan pendapatan antara RM8,000 hingga RM12,000 untuk membeli rumah yang dijangka dibina menjelang penghujung tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly yang juga Timbalan Pengerusi Amanah Johor berkata semua pihak yang tidak berpuas hati berhubung perlantikan ketua kampung didakwa didominasi parti Amanah diminta untuk dapatkan penjelasan daripada pihaknya.

“Yang paling terbaik dapatkan penjelasan dan kita duduk semeja dan berbincang. Saya sangat terbuka untuk memberi penjelasan kerana ada beberapa faktor berlakunya perkara ini seperti tiada calon sesuai menyebabkan pembahagian tidak sama rata,” katanya.

PKR Cabang Gelang Patah hari ini menzahirkan rasa kecewa berikutan pemilihan jawatan ketua kampung di kawasan berkenaan yang didakwa mengetepikan parti tersebut apabila hanya seorang daripada PKR dipilih untuk mengisi satu daripada 11 jawatan yang ditawarkan.- Bernama.