Malaysia Dateline

Kerajaan Negeri Kedah model terbaik toleransi dalam PH

Kerajaan Negeri Kedah merupakan model yang terbaik kepada Pakatan Harapan (PH) dengan komponen yang sedia toleransi dalam pelbagai aspek.

Sehubungan itu sebagai sebuah kerajaan PH yang lengkap, maka kemenangan yang diperolehi sudah pasti merupakan kemenangan yang mendapat mandat majoriti rakyat.

Demikian dizahirkan oleh Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Kedah, Ridzwan Abu Bakar.

Jelas beliau lagi, kerajaan PH negeri Kedah merupakan kerajaan yang mendapat mandat majoriti jika dibandingkan dengan Pas dan BN.

“Walau bagaimana pun teguran yang dilemparkan harus diterima dengan berlapang dada oleh semua kepimpinan komponen PH termasuk kerajaan negeri

“Begitu juga dalam pengagihan kerusi GLC, MPKK, Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan seumpamanya haruslah dilaksanakan secara perbincangan dalam komponen PH.

“Setiap tindakan, lantikan apa jua portfolio berkaitan haruslah dimaklumkan supaya tidak timbul prejudis dan prasangka, ” katanya yang juga merupakan ahli jawatankuasa pengurusan negeri Kedah.

Malah katanya Sekretariat PH Negeri Kedah juga harus diberi peluang bagi mengemudi perjalanan serta dimaklumkan mengenai sebarang pelantikan yang telah dibuat.

“Dalam tempoh yang masih muda sedang berputik, maka PH perlu kembali kepada semangat PH.

“Tidak harus ada mana-mana pihak yang mendakwa mereka adalah parti yang dominan.

“Jangan letakkan Umno dan BN sebagai teladan untuk dijadikan ikutan setelah mereka sendiri tumbang tanpa hala tuju tatkala ini.

Oleh kerana itu tambahnya, semangat PH harus kekal setelah terbukti ia berjaya melakar sejarah disamping hurmat menghurmati antara satu sama lain sehingga menjelangnya Pilihan Raya Umum ke 15 nanti.