Malaysia Dateline

Kerajaan negeri Kelantan dan rakyat teruja terima projek pembangunan

Pengumuman lima projek utama pembangunan di Kelantan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali amat dialu-alukan dan dinantikan oleh rakyat negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Utiliti Negeri, Datuk Azami Mohd Nor berkata, dengan terlaksananya projek pembangunan itu sekaligus dapat merancakkan perkembangan ekonomi penduduk setempat.

“Sebagaimana yang kita ketahui banyak projek sebelum ini tergendala disebabkan pelbagai masalah dan hasrat Kerajaan Pusat, yang mengumum meluluskan lima projek ini, sudah pasti menggembirakan rakyat di sini.

“Tiada apa yang dapat kita ucapkan selain daripada ucapan terima kasih kepada Kerajaan Pusat yang dilihat tidak meminggirkan usaha pembangunan di Kelantan,” katanya.

Mengenai pembinaan Jambatan Palekbang yang menghubungkan Tumpat ke Kota Bharu, beliau berkata projek itu sudah semestinya mendatangkan kegembiraan kepada rakyat.

Jelasnya terdapat beribu-ribu penduduk yang memerlukan jambatan berkenaan yang boleh menjimatkan masa dan jarak serta mengelak kesesakan di Pasir Pekan dan Wakaf Bharu.

“Sebenarnya Kerajaan Negeri ada juga memasukkan ke dalam senarai agar dibina laluan bertingkat di Pasir Pekan ke Wakaf Bharu bagi mengelakkan kesesakan.

“Namun dengan terbinanya Jambatan Palekbang sudah pasti penduduk dari Tumpat ke Kota Bharu sudah tidak mempunyai masalah. Kita tahu ramai kakitangan awam yang sentiasa berulang alik setiap hari antara dua jajahan ini dan yakin selepas ini mereka akan lebih gembira,” katanya.

Pada 7 Mac lepas, Azmin telah mengumumkan lima projek yang diluluskan iaitu pembinaan LPT3 sejauh 150km bermula dari Gemuroh (Terengganu) ke Tumpat.

Projek lain yang diluluskan adalah menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, membina jalan raya yang menghubungkan Pasir Puteh-Machang-Jeli, pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (SCR) sepanjang 123 kilometer serta pembinaan jambatan Palekbang.

Pada 1996, kerajaan pimpinan Pas meletakkan batu asas pembinaan jambatan yang bakal menghubungkan Palekbang ke Kampung Cina di sini namun ia tidak menjadi kenyataan berikutan masalah kewangan kerana ia membabitkan kos RM150 juta ketika itu.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sendiri sebelum ini pernah bertitah supaya Kerajaan Pusat menimbang membina jambatan itu bagi mengatasi kesesakan yang berlaku di Kota Bharu.