Kerajaan negeri Kelantan ditegur, membangun bersama Islam tapi abai ruang solat

Oleh KIM SYAZIE

Drama yang menyelubungi pembangunan terminal bas Kelantan, KB Sentral masih belum menemui titik noktah.

Projek yang dikenali sebagai Terminal Pengangkutan Bersepadu Kota Bharu itu dikatakan sering tergendala.

Tiada kesanggupan dari pihak kontraktor, stesen bas sementara yang disediakan kerajaan juga berada dalam keadaan daif.

Dalam perkembangan terbaharu, projek yang menelan belanja sebanyak RM172 juta itu telah melalui proses kontraktor.

Namun begitu, aspek ruangan kawasan solat gagal dititikberatkan dalam perancangan pembangunan terminal itu.

Perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Tawang, Hassan Mohamood ketika sesi sidang di Kota Bharu, semalam.

“Maaflah saya nak tegur kerajaan, lepas-lepas dah walaupun kita Membangun Bersama Islam.

“Tetapi kerajaan dalam merancang itu tidak memberi perhatian kepada ruangan solat, termasuklah lapangan terbang,” katanya.

Wakil rakyat itu kecewa apabila kemudahan ruangan solat yang disediakan di negara bukan Islam lebih luas berbanding negeri serambi mekah itu.

‘Membangun Bersama Islam’ merupakan slogan dan dasar pentadbiran kerajaan PAS sejak kepimpinan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menjawab soalan, Exco Perindustrian Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Kelantan, Hanifa Ahmad mengakui dirinya terlepas pandang.

“Kita cadangkan supaya dirikan surau di tengah-tengah kompleks KB Sentral. Ada dalam pelan, tadi saya tertinggal,” dakwa Hanifa.

Baca juga: Maidam tarik semula arahan pemakaian pelitup muka di masjid, surau