Kerajaan Negeri P. Pinang perlu tambah peruntukan institusi pendidikan Islam

Kerajaan Negeri P. Pinang perlu tambah peruntukan institusi pendidikan Islam

Zulkiply Ishak

Naib Pengerusi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Zulkiply Ishak menyarankan agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih prihatin dan memberi pertimbangan yang serius terhadap jumlah peruntukan yang disalurkan kepada institusi pendidikan Islam di negeri ini.

Kata beliau, sejak 2008 sehinggalah tahun ini jumlah peruntukan bagi institusi tersebut tidak berganjak dan berada pada takok yang lama.

“Adalah amat wajar bagi kerajaan negeri menilai semula peruntukan sebanyak RM1.75 juta yang disalurkan kepada institusi tersebut.

“Jumlah yang diberikan adalah sedikit pada ketika ini jika dibandingkan sejak awal pemerintahan pada tahun 2008 yang lalu.

“Dalam tempoh yang sudah menjangkau 11 tahun pentadbiran kerajaan negeri, maka jumlah peruntukan harus ditambah memandangkan kewujudan institusi tersebut semakin bertambah saban tahun, ” ujarnya ketika ditemui.

Malah katanya sebelum ini peruntukan yang disalurkan hanyalah kepada institusi pendidikan Islam seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang tidak termasuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Namun begitu kini peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri turut merangkumi Maahad Tahfiz, Pondok, Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) serta Tadika Islam.

“Oleh kerana itu jumlah yang diagihkan bagi setiap institusi pendidikan Islam semakin mengecil dan amat menyukarkan SAR yang tidak tersenarai sebagai SABK yang mendapat bantuan dari kerajaan.

“Sebelum ini terdapat SAR yang mampu bernafas lega apabila mereka memperolehi peruntukan antara RM40 ribu sehinggalah RM300 ribu setahun.

“Walau bagaimana pun kini terdapat antara institusi tersebut hanya mendapat sumbangan sekitar RM5,000 hingga RM10,000 setahun dan tidak memadai untuk menampung pelbagai kos yang semakin meningkat, ” tegasnya.

Beliau yang juga merupakan Ketua AMANAH Kawasan Bagan turut menyarankan kerajaan negeri supaya menilai semula peruntukan yang diberikan jika dibandingkan dengan peruntukan yang disalurkan kepada sekolah mubaligh, sekolah persendirian Cina dan sekolah Tamil yang mendapat jumlah yang sama, sebaliknya kuantiti institusi tersebut adalah terlalu kecil.

“Apabila jumlah yang sama diagihkan kepada kuantiti yang besar dan banyak seperti institusi agama Islam, sudah pasti jumlah yang diterima amat kecil dan tidak mampu untuk mengatasi pelbagai kos.

“Selain itu jumlah pelajar yang ada pada institusi pendidikan Islam lebih ramai jika dibuat perbandingan.

“Justeru itu sebagai sebuah kerajaan negeri yang senantiasa peduli terhadap kebajikan rakyat, maka adalah diharapkan perkara ini dapat dilaksanakan dalam bajet 2019 kerajaan negeri yang akan datang, ” tambahnya lagi.

Beliau juga berkata, apa yang dizahirkan adalah keluhan serta keresahan yang diterima semasa turun padang menjenguk institusi pendidikan Islam tersebut baru-baru ini.

8.5
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 7.0