Kerajaan negeri Pas dikecam mahu roboh Pasar Besar Pasir Puteh

Penguatkuasa MDPP cuba menghalang peniaga menghampiri jentolak.

Lagi tiga hari kontroversi pemindahan peniaga di Pasar Besar Pasir Puteh akan disebut di mahkamah, pihak Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) telah menghantar jentera untuk merobohkan pasar tersebut hari ini.

Kedatangan jentolak untuk operasi meroboh tanpa perintah mahkamah itu pagi tadi bagaimanapun mengundang kemarahan peniaga dan ahli Persatuan Peniaga Kecil Dalam Pasar Pasir Puteh Kelantan (Pembekal).

“Pastikan pihak Majlis Daerah Pasir Puteh hari ini bawa surat mahkamah baru kami kosongkan pasar ini.

“Lagipun ada satu lagi (kes) difailkan pada 22 haribulan ini mengenai rayuan kita di Putrajaya,” pekik seorang wakil peniaga, Kamarzaman Che Ngah.

Beliau yang berbaju hijau tertera ungkapan, ‘Ya Allah Selamatkan Pasar Kami’ beberapa kali mendesak MDPP menunjukkan notis arahan mahkamah terlebih dahulu.

“Injuksi kes akan didengar pada 15 Mac ini. Pihak kamu (MDPP) tak hormati undang-undangkah? Kamu mendabik dada sebagai kerajaan Islam.

“Nak sodok mari surat mahkamah. Tiada surat mahkamah, balik!” jerit individu itu lagi sebelum mendapat tepukan tanda sokongan daripada kira-kira 300 peniaga yang turut menghalang operasi meroboh diteruskan.

Pihak MDPP bagaimanapun, dilihat tidak mengeluarkan surat arahan seperti diminta sebelum satu jentolak mulai berundur apabila berterusan cuba diusir peniaga di tengah-tengah bandar Pasir Puteh itu.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu telah menetapkan tarikh pendengaran permohonan injuksi bagi menghalang pihak MDPP menjalankan kerja-kerja perobohan bangunan Pasar Besar Pasir Puteh pada 15 Mac ini.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan dalam reaksinya di tempat kejadian menggesa supaya kerajaan negeri berbincang dengan peniaga terbabit bagi mengelak konflik daripada berterusan.

“Kita harap pihak kerajaan dapat berbincang molek dengan pihak persatuan. Kalau buat begini (roboh) bahaya.

“Kita minta supaya kena bersabar. Kepada kerajaan negeri, ini isu rakyat. Kita tidak mahu ketegangan berlaku,” dipetik daripada rakaman yang dimuat naik menerusi Facebook Pemuda AMANAH Kelantan.

Rata-rata orang ramai mengecam tindakan pihak kerajaan negeri Kelantan yang dikuasai Pas itu kerana cuba melakukan operasi perobohan tanpa mematuhi proses undang-undang.

6.0
OVERALL SCORE
3 user votes x 8.0