Malaysia Dateline

Kerajaan negeri, penduduk PPR Taman Manggis perlu berbincang tanpa pihak ketiga

Kerajaan Negeri Pulau Pinang harus mengadakan perbincangan dengan penduduk yang terlibat dalam pengusiran di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Taman Manggis tanpa penglibatan pihak ketiga.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin ketika ditemui selepas sambutan Hari Wanita Sedunia peringkat negeri yang diadakan di Seberang semalam.

Jelas beliau lagi, pertemuan tersebut perlu diadakan bagi mengenal pasti punca keengganan penduduk untuk berpindah serta mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Mesyuarat yang lebih berstruktur tersebut bagi memudahkan penduduk terlibat untuk menerima keputusan yang dibuat.

“Menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk menguatkuasakan undang-undang serta mendidik masyarakat untuk mematuhi pelaksanaan undang-undang tersebut.

“Masalah sebegini tidak akan timbul sekiranya penguatkuasaan undang-undang dikuatkuasakan sejak zaman pemerintahan kerajaan terdahulu lagi, ” ujarnya.

Selain itu kata Zuraida, KPKT juga akan membina projek PPR di Bukit Gelugor dan Balik Pulau.

Tegasnya lagi, kedua-dua projek PPR tersebut sedang dalam proses pertimbangan oleh kerajaan Pusat.

Tambah beliau seharusnya mereka yang terlibat dalam isu Taman Manggis boleh cuba untuk memohon skim sewa beli yang disediakan oleh kerajaan negeri.

Semalam penduduk yang terlibat dalam pengusiran di PPR Taman Manggis telah bermalam diruang legar Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang menjadi pusat pentadbiran kerajaan negeri hingga kini,

Sehubungan itu pelbagai dakwaan telah dilemparkan kepada kerajaan negeri ekoran penguatkuasaan undang-undang serta penyitaan kediaman 22 penduduk terlibat.