Malaysia Dateline

Asmuni Awi

Kerajaan negeri Perak digesa selesaikan isu ‘kawasan hitam’

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perak kesal terhadap sikap ‘lepas tangan’ Kerajaan Negeri Perak berhubung usaha mencari jalan alternatif bagi kawasan yang berisiko tinggi dan berbahaya kepada pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) terutamanya pada musim perayaan ini.

Pengerusinya Asmuni Awi berkata, sebelum ini, terdapat sebuah syarikat yang mencadangkan pembinaan lebuhraya baru dari Jelapang-Selama-Batu Kawan (JELAS) namun malangnya ia terhenti begitu sahaja dan tiada kesungguhan kerajaan negeri mendapatkan sokongan kerajaan persekutuan.

Sedangkan katanya, kerajaan negeri Perak turut sama mengwar-warkan usaha ini.

“Amanah Perak yang telah membangkitkan perkara ini sebelumnya ingin melihat usaha yang dilakukan oleh syarikat tersebut dapat membantu pengguna yang ingin ke utara atau dari utara yang ingin ke Ipoh khasnya mendapat satu lagi jalan alternatif dan selamat untuk sampai ke destinasi yang ditujui khasnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, terdapat kemalangan yang melibatkan sebuah lori yang terbalik dan melintang jalan yang menyebabkan kesesakan panjang.

“Walaupun tidak mengakibatkan kematian namun situasi ini cukup perit bagi pengguna Lebuhraya PLUS untuk ke utara yang terpaksa menempuh jalan yang sukar dan memakan masa yang lama untuk sampai ke tempat yang dituju,” katanya.

Menurut beliau juga, walaupun kerajaan persekutuan telah meluluskan projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang bermula dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak tetapi ia tidak menyelesaikan masalah laluan berbahaya pengguna Lebuhraya PLUS dari Tanjung Malim ke utara.

Justeru, katanya, Amanah Perak mendesak agar kerajaan negeri menyuarakan pandangan pelbagai pihak demi keselamatan pengguna jalan tersebut dengan segera.

“Laluan dari Terowong Menora-Sungai Perak cukup dengan sejarah hitam dan banyak yang telah terkorban apabila melalui laluan tersebut,” katanya.