Kerajaan negeri Perak digesa tingkat produk pelancongan lebih menarik

Kerajaan negeri Perak digesa tingkat produk pelancongan lebih menarik

Kerajaan Negeri Perak digesa untuk menyelaraskan semua agensi di negeri itu dengan Kementerian Pelancongan agar menghasilkan produk pelancongan yang lebih menarik untuk meningkatkan kehadiran pelancong dalam dan luar negara.

Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin (Amanah-Changkat Jering) berkata, Sektor pelancongan adalah di antara sektor utama yang mampu memainkan peranan besar bagi mempertingkatkan pendapatan di sesebuah negeri mahupun negara.

“Saya yakin Malaysia yang kaya dengan anugerah alam semulajadi yang cantik serta dengan berbekalkan produk pelancongan yang unggul mampu menarik minat para pengunjung di dalam dan luar negara untuk datang ke negeri Perak.

“Tahun 2017 telah diistiharkan sebagai “Tahun Melawat Perak Darul Ridzuan” dan dijangkakan sejumlah 7 juta pelancong akan berkunjung negeri yang bertuah ini.

“Malangnya publisiti Sambutan Tahun Melawat Perak ini tidak sangat disedari dan tidak meluas sehinggakan rata-rata apabila ditanya kepada rakyat jelata tentang perkara ini, mereka tidak mengetahuinya,” ujarnya.

Beliau berucap dalam sidang dewan undangan negeri membahaskan titah Sultan Perak,Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sultan Nazrin ketika merasmikan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada Isnin lalu, turut menyebut mengenai Tanjung Tualang Dregde 5 (TTD5) yang dibina pada 1938 sebagai produk pelancongan.

Nizar yang juga Ketua Pembangkang Dun Perak  menjelaskan, pada 29 Mac 2017 Pengerusi Amanah Negeri Asmuni Awi telah melawat ke kapal korek tetapi tidak terdapat banyak perubahan setelah kapal korek tersebut diserahkan kepada Perbadanan Menteri Besar (MB Inc).

“Kita mengharapkan kerajaan negeri membuat promosi yang lebih hebat sehingga sampai keseluruh rakyat jelata dan menawarkan pakej-pakej pelancongan yang menarik untuk meningkatkan lagi jumlah pengunjung ke negeri Perak.

“Malangnya negeri Perak yang terdapat banyak tempat menarik seperti Pulau Pangkor, Bandar Lumut, Gua Batu Kapur, Kellie’s Castle, Muzium, Bukit Larut, Taman Tasik Taiping, habitat kelip kelip di Sungai Sepetang, dan tempat bersejarah gagal mendapat tempat dalam senarai pilihan para pelancong,” ujarnya.

Nizar turut merujuk kepada laporan Pacific Asia Tourist Association (PATA) yang mengatakan penerbangan merupakan satu mode pengangkutan yang dominan untuk membawa pelancong.

Lebih daripada 60% pelancong menggunakan mode penerbangan untuk ke destinasi yang dituju. Oleh hal ujarnya, adalah sangat wajar kerajaan negeri melihat secara lebih serius potensi Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh.

“YAB Pangkor serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, sehingga kini gagal mewujudkan perkhidmatan bas ulang alik untuk membawa penumpang menaiki pesawat.

“Di antara sebab pengangkutan ulang alik ini tidak disediakan oleh Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) ialah kerana jumlah bilangan pengunjung yang tidak ramai.

“Saya mengesyorkan agar kerajaan negeri dengan bersungguh-sungguh bukan sekadar meningkatkan kekerapan trip malah menambah pelbagai destinasi penerbangan untuk lapangan terbang Ipoh.

“Saya amat risau apabila melihat statistic penerbangan ke Ipoh (in and out) yang merosot dari tahun 2015 ke 2016. Pada tahun 2015 penerbangan ke Ipoh dicatatkan sebanyak 3679 kali manakala pada tahun 2016 penerbangan yang dicatat ialah 2747 kali, merosot sebanyak 23%. Ini sudah tentu akan memberi kesan kepada kejayaan program Tahun Melawat Perak tahun ini,” ujarnya.

 

TAGS