Kerajaan Negeri Perak pandang serius isu murid ketagih vape

Kerajaan Negeri Perak pandang serius isu murid ketagih vape

– Kerajaan Negeri Perak akan meletakkan isu ketagihan rokok elektronik atau vape dalam kalangan murid sebagai keutamaan, bagi mengekang perkara itu daripada menular terutama di sekolah rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari berkata setakat ini, tiada laporan mengenai ketagihan vape dalam kalangan murid sekolah rendah di Perak.

“Bagaimanapun kita memandang serius mengenai isu ini dan pihak Jabatan Pendidikan negeri akan mengambil tindakan, sekiranya benar terdapat gejala tidak sihat ini dalam kalangan murid di sini,” katanya di Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Negeri Perak 2019, anjuran Jabatan Penerangan pada Ahad.

Dr Abdul Aziz mengulas berhubung laporan beberapa akhbar tempatan yang mendedahkan terdapat kanak-kanak seawal usia 10 tahun, yang dikesan ketagihan menghisap vape serta e-rokok termasuk ‘nano stick vape’, perisa dan pelbagai peralatan vape dengan saiz berbeza yang dilaporkan di sekolah-sekolah negeri lain.

Kewujudan pelbagai jenis vape bersaiz kecil antaranya berbentuk pen, jam tangan, pemetik api, pemacu pena hingga bersaiz sebesar kotak mancis dikatakan antara punca vape menjadi ketagihan baharu murid serta pelajar sekolah.

“Ia merupakan sebahagian daripada masalah displin dan saya akan berbincang dengan Pengarah Pendidikan Perak, bagi melihat strategi dan perkara yang perlu dilakukan bagi memastikan perkara ini tidak bertambah buruk di negeri yang besar ini,” katanya.

Katanya perkara itu bukan sesuatu yang baharu kerana masalah ketagihan rokok dalam kalangan murid sudah lama dan dikategorikan sebagai masalah displin.

Turut hadir Pengarah Penerangan Negeri Perak Taib Ubah.

Pada majlis itu, enam kumpulan menyertai pertandingan peringkat negeri Perak, yang berbentuk penceritaan berkonsepkan Malaysia Baharu.

Johan pertandingan dari daerah Kinta memenangi wang tunai sebanyak RM3,000, plak dan sijil penyertaan manakala naib johan dimenangi kumpulan daripada Hilir Perak yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000, piala dan sijil penyertaan.- BERNAMA