Kerajaan Negeri Perak salur RM30 ribu kepada sekolah pondok

Kerajaan Negeri Perak salur RM30 ribu kepada Sekolah pondok bidayatul hidayah

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Tuan Haji Asmuni Awi pada 12 November 2018 telah mengadakan kunjungan ke Sekolah Pondok Bidayatul Hidayah, Kampung Gajah. Kunjungan tersebut adalah bersempena lawatan kerja rasmi beliau ke Kampung Gajah.

Dalam pertemuan tersebut, mudir pondok, Ustaz Nor Zamani Mohd Nordin telah menjelaskan tentang perjalanan pondok tersebut yang baru berusia 11 bulan. Sekolah pondok itu beroperasi di sebidang tanah yang diwakafkan kepada Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) yang beralamat Lot 169, Kg Batu Hitam, 36800 Kampung Gajah, Perak.

Sekolah tersebut ketika ini mempunyai kira-kira 30 orang pelajar yang memfokuskan kepada pembelajaran kitab thurath. Difahamkan sekolah ini membuka peluang pengajian kepada umum pada setiap hujung minggu iaitu sabtu dan ahad. Sekolah ini tidak mengenakan sebarang bayaran dia.

Sekolah ini adalah satu-satunya sekolah berasaskan pondok yang ada di Kampung Gajah dan ia mendapat respon dan sokongan positif daripada masyarakat setempat. Sekolah ini akan menerima pelajar baharu iaitu dari kalangan warga emas yang mahu menuntut ilmu.

Tuan Haji Asmuni meluangkan masa hampir satu jam untuk bertemu para pelajar dan para pengurusan sekolah tersebut. Dalam pertemuan tersebut, pihak pengurusan telah mengemukakan kertas kerja pembinaan bangunan dan keperluan asas sekolah pondok tersebut. Pihak sekolah telah memohon sumbangan sebanyak RM30 ribu dan Tuan Haji Asmuni telah meluluskan permohonan tersebut serta merta.