Malaysia Dateline

Kerajaan Negeri Perak utamakan polisi pensijilan, produk halal berbanding BMF, kata Exco

Kerajaan Negeri Perak tidak mahu terlibat dengan kempen-kempen yang tidak selari dengan dasar dan polisi kerajaan yang sedang giat mempromosikan pensijilan dan penghasilan produk halal di negeri itu berbanding kempen Beli Barangan Buatan Muslim (BMF).

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi  berkata, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh parti-parti politik atau pihak-pihak lain yang didalangi oleh parti-parti politik adalah dilarang sama sekali di negeri itu.

“Kempen-kempen seperti yang dianjurkan oleh BMF ini secara keseluruhannya akan memberi kesan negatif kepada konteks ekonomi dan keharmonian dalam konteks Malaysia.

“Dalam konteks BMF, meskipun pihak penganjur mendakwa bahawa aktiviti tersebut dibuat atas nama NGO, namun laporan dan hasil siasatan yang diterima mendapati bahawa individu yang terlibat dalam pelancaran kempen tersebut di masjid berkenaan merupakan pimpinan bagi parti politik tertentu,” ujarnya dalam kenyataan yang dibacakan pada sidang media hari ini.

Menurut Asmawi lagi, kerajaan negeri akan terus memperkasakan kempen untuk menggalakkan pensijilan dan penghasilan produk halal terutama dalam kalangan usahawan-usahawan Muslim dan bumiputera. Usaha ini akan dijalankan melalui agensiagensi kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun nasional.

Sehubungan itu, ujarnya lagi, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk membantu meningkatkan penghasilan dan pendapatan usahawan Melayu Muslim terutamanya, dengan mempromosikan barang-barang keluaran mereka sama ada melalui kerajaan negeri ataupun bekerjasama dengan agensi-agensi persekutuan yang lain.

“Antaranya, melalui penganjuran karnival-karnival jualan, ‘business matching’ serta program-program promosi termasuk mempromosikan hasil produk usahawan bumiputera ke luar negara,” terangnya.

Pada 19 Oktober lepas, Kerajaan Perak melarang sebarang penganjuran kempen Beli Barangan Buatan Muslim Dahulu (BMF) di dalam kawasan masjid selepas perkara itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebelum itu.

Ini susulan pelancaran Buy Muslim First Peringkat Masjid Negeri Perak di Masjid An-Nur Batu 8, Hulu Kinta.

Kerajaan negeri juga kesal dengan penglibatan Jabatan Mufti Negeri Perak terhadap kempen tersebut.

Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim yang dijadualkan merasmikan pelancaran program itu juga dilaporkan akan dipanggil untuk memberikan penjelasan.

Bagaimanapun Gerakan Pembela Ummah (Ummah) Perak mendedahkan terdapat usaha pihak tertentu menghalang kempen BMF di masjid di Perak.

Pengerusinya, Khalil Idham Lim Abdullah berkata, ada pihak menganggap kempen berkenaan bersifat politik sedangkan ia digerakkan atas kesedaran orang Islam.