Kerajaan Negeri Perlis gagal manfaat projek perumahan rakyat di Wang Kelian

Kerajaan Negeri Perlis  gagal manfaat projek perumahan rakyat di Wang Kelian

Deretan rumah di Taman Wang Kelian yang tidak dihuni sekian lama dan satu pembaziran kerajaan BN.

Kerajaan BN Perlis bukan saja lemah tetapi tidak mampu untuk memanfaatkan projek yang telah siap dibina sehingga membiarkan ianya merugikan wang rakyat.

Sebagai bukti projek perumahan rakyat di Taman Wang Kelian, Padang Besar, Perlis yang telah siap begitu lama tidak dapat didiami sehingga kini.

Ia bukan sahaja merugikan, sebaliknya menyakitkan mata yang memandang.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Bahagian Padang Besar, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Izizam Ibrahim ketika meninjau kawasan perumahan tersebut baru-baru ini.

Izizam Ibrahim

Jelas beliau lagi, sikap tidak peduli dan prihatin kerajaan BN yang menerajui negeri Perlis menyebabkan perkara ini berlarutan sehingga menjelangnya pilihan raya umum ke 14 bulan depan.

“Untuk apa dijanjikan lambakan projek baru lagi, sedangkan projek lama yang didakwa khusus untuk rakyat marhaen pun tidak dapat disempurnakan.

“Projek perumahan di Taman Wang Kelian ini begitu hampir dengan pintu masuk ke sempadan Thailand dan Perlis tetapi ia tidak dimanfaatkan oleh kerajaan BN yang memerintah.

“Secara jelas dan nyata, ia adalah satu lagi pembaziran dan kelemahan yang tidak boleh disembunyikan lagi, ” tegasnya.

Malah ujarnya, sekiranya projek perumahan ini dapat diselamatkan sudah pasti begitu ramai rakyat negeri Perlis yang amat memerlukan kediaman dapat menduduki kediaman ini.

“Kalau sudah menjadi kerajaan kenapa BN sanggup membiarkan kediaman ini kosong dan rosak begitu lama.

“Begitu banyak wang yang telah dikeluarkan bagi membangunkan projek ini, sebaliknya terbiar dan ditumbuhi dengan tumbuhan liar serta rosak segala infrastruktur yang ada.

“Seandainya kerajaan BN Perlis tidak berdaya untuk menjadi sebuah kerajaan yang bijak mengakses segala pembangunan yang telah dibangunkan, adalah lebih elok BN berundur saja dari menjadi sebuah kerajaan menjelang PRU akan datang, ” katanya lagi.

Beliau juga berkata Pakatan Harapan mempunyai agenda yang lebih baik bagi membela nasib rakyat jika dibandingkan dengan BN yang hanya tahu menghabiskan wang rakyat.

“Buktikan bahawa BN Perlis boleh membaik pulih projek perumahan Taman Wang Kelian ini sebelum PRU bulan hadapan sekiranya mereka benar-benar serius mahu membantu rakyat.

“Siapkan dahulu begitu banyak projek perumahan, rekreasi, ekonomi dan seumpamanya yang tidak terjaga dan terbiar.

“Jika perkara ini tidak dapat BN laksanakan, tidak perlulah menabur lambakan janji-janji baru lagi, sedangkan Hospital Padang Besar dan Sekolah Sukan di Padang Besar pun tidak mampu disiapkan walaupun janji sudah bertahun-tahun lamanya, ” tambahnya lagi.

Sehubungan itu ujarnya, rakyat negeri Perlis wajib bangun dan sedar segera bahawa BN bukanlah sebuah kerajaan yang baik untuk mentadbir negeri Perlis maupun negara ini.

Oleh kerana itu katanya, BN mesti ditolak dan dinyahkan dari persada politik negeri Perlis dan juga negara menjelang PRU pada bulan Mei nanti.

Kelihatan sebahagian bumbung rumah dan cermin tingkap bangunan kediaman yang gagal disiapkan oleh pemaju di Taman Wang Kelian yang terbengkalai tanpa sebarang tindakan kerajaan negeri.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote