Kerajaan negeri perlu bantu pejuang kemerdekaan Sri Medan

Kerajaan negeri perlu bantu pejuang kemerdekaan Sri Medan

Dalam isu di Kampung Air Putih Lapis 1, Sri Medan Batu Pahat Johor, 28 Julai yang lalu telah mengejutkan ramai pihak antaranya adalah Adun Senggarang Khairuddin A Rahim (gambar atas).

Beliau telah mencadangkan agar pihak kerajaan negeri Johor mempertimbangkan rayuan penduduk kampung itu.

Menurut beliau, penerokaan tanah yang berlaku sejak tahun 1940an di kampung adalah asas yang kukuh untuk mereka mendapat hak mereka.

“Mereka adalah penduduk asal tanah tersebut dan dalam tinjauan saya ke tanah berkenaan, segala butiran permohonan yang dilakukan pihak penduduk telah pun dilakukan.

“Peta ukuran tanah serta bukti permohonan telah dibuat oleh penduduk kampung. Mereka juga membangunkan tempat tersebut serta mengusahakan tanah terbiar di sekitarnya sehingga menjadi kebun yang menjadi mata pencarian mereka sebelum ini.

Khairuddin bersama-sama penduduk kampung.

“Selain itu jasa mereka kepada negara perlu juga dihargai dan pemohonan mereka untuk pemilikkan tanah bukannya suatu permintaan yang melampau,” ujarnya ketika ditemui.

Dalam pada itu, beliau yang merupakan Ketua PH Parit Sulong berasa kecewa dengan kerajaan sebelum ini yang memperlekehkan usaha penduduk di kampung tersebut.

Beliau turut berharap keprihatinan kerajaan negeri Johor di bawah pemerintahan PH agar dapat memberikan khabar gembira kepada penduduk kampung berkenaan.

“Sebagai kerajaan yang membawa konsep prihatin pada rakyat sudah menjadi kewajipan kepada mereka untuk tidak menafikan hak rakyat dan seharusnya kerajaan memelihara rakyat dari kesusahan yang mereka tanggung.

“Pemilikkan tanah adalah suatu asas utama yang perlu didahulukan oleh kerajaan. Selain ekonomi, kesihatan dan pendidikan, kediaman atau tempat tinggal merupakan perkara penting dalam kehidupan serta ia perlu menjadi asas perjuangan membantu rakyat,” ujarnya lagi.

Khairuddin juga akan membawa suara penduduk ke peringkat lebih seterusnya bagi memperjuangkan nasib penduduk kampung.