Kerajaan negeri perlu buat siasatan menyeluruh kejadian banjir di Gerik

Kerajaan negeri perlu buat siasatan menyeluruh kejadian banjir di Gerik

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak menggesa Kerajaan Negeri Perak melakukan siasatan menyeluruh berikutan bencana banjir yang berlaku di Gerik dan sebahagian di Lenggong pada hari Khamis baru-baru ini.

Setiausaha AMANAH Perak, Salman Haji Saleh berkata, Pekan Gerik lumpuh akibat banjir yang berlaku dan perkara ini memerlukan siasatan menyeluruh.

“Kerajaan Negeri Perak melalui Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) Perak perlu dipanggil kerana terdapat dakwaan bahawa bencana banjir yang terburuk serta tidak pernah berlaku di Gerik ini dikatakan akibat pembalakan yang berleluasa berlaku sebelum ini.

“Bencana banjir yang berlaku tersebut telah menjejaskan hampir 10 buah kampung di sana,” kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

Ujar beliau lagi, AMANAH Perak yakin, kemungkinan kesan pembalakan yang berlaku di Gerik tersebut mungkin menjadi punca utama bencana banjir yang mengakibatkan hampir 300 orang menjadi mangsa sehingga menjejaskan perniagaan sekitar Pekan Gerik.

Sehubungan itu tambahnya, siasatan menyeluruh perlu dilakukan kerana dibimbangi bencana banjir akan berulang kembali dan jika benar dakwaan tentang pembalakan tersebut, Kerajaan Negeri Perak perlu mendedahkan hasil laporan kepada umum kerana seolah-olah tiada kawalan sebelum ini.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES