Malaysia Dateline

Kerajaan negeri perlu dilibatkan bagi permudah penduduk terima dos penggalak

Bagi memudahkan dan memastikan semua penduduk menerima dos penggalak, kerjasama erat perlu ada antara kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO) Dr Mohammad Farhan Rusli berkata, kerajaan negeri perlu dilibatkan keranan mereka lebih faham dan tahu kemahuan serta keperluan penduduk kawasan mereka.

“Kerajaan Negeri juga ada tenaga kerja dari pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat, Ahli Dewan Negeri dan Ahli Majlis yang memudahkan segala urusan. Ini perlu,” katanya.

Jelasnya, pemberian dos penggalak Covid-19 perlu giat dilaksanakan sama seperti penganjuran program suntikan dos pertama dan kedua.

“Kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu proaktif memastikan rakyat mudah untuk mengambil suntikan itu.

“Buat macam dos pertama. Pergi setiap kawasan untuk bagi penduduk terima dos penggalak ini. Dulu (dos pertama) orang tua tak nak pergi PPV (pusat pemberian vaksin) sebab tak ada pengangkutan tapi kita sediakan.

“Jadi kali ini jangan ambil langkah ke belakang. Keluarkan dana untuk mudahkan penduduk kerana jika mereka tak ambil, ia beri kesan pada ekonomi nanti,” katanya dipetik Selangorkini.

Beliau bercakap pada program Bual Bicara: Perlukan ‘Booster’ Keempat? yang disiarkan di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor baru-baru ini.