Malaysia Dateline

Kerajaan negeri perlu masa pulihkan kawasan sekitar Bukit Kledang

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta rakyat memberi masa kepada kerajaan negeri untuk membaik pulih kawasan berhampiran Bukit Kledang di sini berikutan aktiviti penerokaan tanah secara haram.

Beliau berkata pihaknya sedang mencari jalan penyelesaian untuk memulihkan tanah seluas 10 hektar yang telah diratakan bagi tujuan perladangan kelapa sawit.

“Kita perlu melakukan sesuatu bagi mengekalkan kehijauan di kawasan tersebut. Bagi masa sedikit untuk kami (kerajaan negeri) untuk membaiki keadaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Anuar Zainal Abidin mengesahkan wujud aktiviti penerokaan tanah haram berhampiran bukit berkenaan melibatkan sebahagian dari tanah hak milik perbadanan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak berkaitan kerana berani menceroboh tanah hak milik kerajaan negeri atau syarikat-syarikat berkanun negeri.

“Kita belum mengenal pasti siapa pelakunya, kerana apa yang diberitahu kepada saya ketika mengadakan tinjauan di situ semalam, pihak kami mendapati mesin-mesin dan jentera berat yang digunakan telah dialihkan daripada kawasan tersebut,” katanya.

Ahmad Faizal berkata walaupun tanah yang diceroboh di kawasan Bukit Kledang itu bukan terletak dalam kawasan rizab hutan namun ia telah diluluskan oleh kerajaan pada tahun 2015 bagi tujuan pembangunan bercampur.

“Kita belum membuat apa-apa keputusan untuk kawasan tersebut tetapi apabila mengetahui kawasan itu telah dimasuki secara haram, kita berasa amat kecewa.

“Ini mungkin kerana penguatkuasaan yang lemah sebelum ini. saya berharap rakyat dapat membantu kerajaan dalam perkara ini dan saya berterima kasih kepada Sahabat Alam Malaysia (SAM) yang telah mengutarakan perkara ini untuk diatasi dengan segera,” katanya.

– BERNAMA