Malaysia Dateline

Kerajaan negeri perlu pertingkat komitmen urus sumber hutan secara lestari

Malaysia telah menyambut Hari Hutan Antarabangsa 2021 pada 21 Mac lepas dan pada hari yang sama Dasar Perhutanan Malaysia (DPM) dilancarkan.

Pelancaran DPM adalah komitmen kerajaan Persekutuan ke arah mencapai pembangunan mapan dan pengurusan hutan secara berkekalan di negara ini.

Walau bagaimanapun, komitmen tersebut perlu dizahirkan oleh semua kerajaan negeri (termasuk pentadbiran di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan) kerana di bawah Perkara 74 (2), Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal hutan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Sebelum ini, terdapat dasar dan ketetapan tertentu yang dilihat ‘gagal’ dicapai kerana tidak mendapat komitmen dan tindakan yang bersungguh-sungguh daripada kebanyakan kerajaan negeri.

Sebagai contoh ialah Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 1989 kerana negara telah ‘gagal’ memulihara spesies Badak Sumatera (Dicerorhinus sumatraensis) sehingga pupus di Malaysia.
Malah, populasi Harimau Malaya (Panthera tigris jocksoni) di Malaysia juga membimbangkan kerana dari semasa ke semasa semakin berkurangan.

Begitu juga, matlamat dan sasaran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) iaitu pada tahun 2020 keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia mencapai lima juta hektar tidak tercapai.

Kawasan berhutan di Malaysia merangkumi beberapa status tanah sama ada yang dilindungi atau tidak dilindungi iaitu HSK, Taman Negara / Rizab Hidupan Liar / lain-lain Santuari (di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia), Taman Negeri (ditubuhkan di bawah enakmen negeri), sesuatu Tanah Rizab (tanah yang dirizabkan untuk maksud awam di bawah Seksyen 62, Kanun Tanah Negara 1965 atau lain-lain peruntukan undang-undang), Tanah Kerajaan dan Tanah Milik.

Pohon Giam Kanching spesies bersifat endemik iaitu hanya ditemui di Hutan Simpan Kaching, Selangor.

Kesemua status tanah berhutan tersebut merangkumi keluasan kira-kira 18,273.487 juta hektar atau 55 peratus pada tahun 2018 daripada keluasan tanah negara tetapi perangkaan menunjukkan keluasan kawasan berhutan berkurangan dari setahun ke setahun.

Trend pengurangan ini sudah tentunya tidak selari dan bercanggah dengan:

i. Komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi Rio, Brazil pada 1992 dan Persidangan Mengenai Perubahan Iklim Ke-15, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark pada Disember 2009 iaitu mengekalkan 50% keluasan tanah negara dilitupi hutan;

ii. Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992) iaitu mengurus dan membangunkan sumber hutan secara berkekalan bagi pengeluaran dan perkhidmatan hutan yang berterusan (sebelum pelaksanaan Dasar Perhutanan Malaysia);

iii. Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 1989 iaitu menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam pemuliharaan, penyelidikan dan penggunaan mampan kepelbagaian biologi tropika menjelang 2020;

iv. Matlamat dan sasaran JPSM iaitu pada tahun 2020 keluasan HSK di Semenanjung Malaysia mencapai lima (5) juta hektar; dan

v. Salah satu Strategi Korporat utama beberapa Jabatan Perhutanan Negeri iaitu mengekalkan keluasan HSK sedia-ada dan meningkatkan keluasannya.

Pemansuhan HSK dan kawasan perlindungan lain

Salah satu faktor utama pengurangan keluasan kawasan berhutan di Malaysia adalah kerana pemansuhan sama ada sebahagian ataupun keseluruhan sesuatu HSK dan lain-lain kawasan perlindungan (PA).

Kebanyakan kawasan HSK yang dimansuh tidak diganti oleh kerajaan negeri sebagaimana mengikut Seksyen 12, Akta Perhutanan Negara 1984.

Ketiadaan kawasan tidak boleh dijadikan alasan oleh Kerajaan Negeri untuk tidak mengganti kerana masih terdapat kawasan berhutan berstatus tanah kerajaan yang luas di negeri-negeri tertentu yang boleh diganti.

Berdasarkan kajian kes Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), terdapat kawasan HSK yang dikelaskan sebagai Hutan Simpanan Dara (VJR), kawasan HSK yang mempunyai spesies-spesies flora dan fauna endemik, terancam (yang disenaraikan sebagai ‘Critically Endangered’ [CR] oleh International Union for Conservation of Nature’ [IUCN]) serta kawasan HSK yang mempunyai kepentingan tertentu juga dimansuhkan.

Sepatutnya kawasan HSK yang dikelaskan sebagai VJR, kawasan HSK yang dikenal-pasti mempunyai flora dan fauna endemik, terancam (CR) serta kawasan HSK yang mempunyai kepentingan tertentu perlu dikekalkan dan dipelihara.

Pemansuhan kawasan berhutan sebagai kawasan perlindungan bukan hanya di kawasan berstatus HSK sahaja tetapi paling memdukacitakan apabila kerajaan negeri memansuhkan keseluruhan Rizab Hidupan Liar Chior, Daerah Kuala Kangsar dibawah pengurusan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Jab PERHILITAN) seluas 692.7 hektar pada 31 Julai 2014.

Rizab Hidupan Liar Chior adalah Rizab Hidupan Liar pertama ditubuhkan di Malaysia serta merupakan koridor hidupan liar terutama habitat dan kawasan keliaran mamalia besar khususnya Gajah dan Harimau Malaya.

Hutan paya bakau kini hanya sekitar dua peratus daripada jumlah keluasan tanah negara, iaitu 537,686 hektar setakat 2015.

Pembangunan ladang monokutur

Sejak beberapa tahun kebelakangan, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) alam sekitar lain berasa bimbang terhadap trend beberapa Kerajaan Negeri yang menggalakkan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur (ladang hutan) berskala besar (terutama dalam kawasan HSK).

Terdapat kawasan cadangan pembangunan ladang monokultur merupakan:

i. Kawasan koridor hidupan liar terutama habitat dan kawasan keliaran mamalia besar khususnya Gajah dan Harimau Malaya;

ii. Kawasan yang melibatkan masyarakat Orang Asli dan lain-lain masyarakat berhampiran seperti penempatan dan mendapatkan hasil hutan;

iii. Kawasan tadahan air (yang diwarta dibawah Seksyen 10, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313); dan

iv. Kawasan Rangkaian Ekologi – ‘Central Forest Spine’ (CFS).

KUASA dukacita dan membantah sekiranya mana-mana kerajaan negeri tetap hendak meneruskan cadangan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur (ladang hutan) berskala besar dalam kawasan HSK.

Apabila guna-tanah hutan di sesuatu kawasan HSK ditukar kepada pelaksanaan pembangunan ladang monokultur (ladang hutan), menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas.

Kebanyakan pembangunan ladang monokultur (ladang hutan) tidak mengikut kriteria kesesuaian penubuhan ladang monokultur (ladang hutan).

Lain-lain kegiatan dan pengubahan guna tanah dalam HSK

Terdapat juga lain-lain kegiatan dan pengubahan guna-tanah dalam HSK terutama kegiatan pengkuarian, perlombongan (termasuk yang terkini ialah perlombongan nadir bumi [rare earth mineral]) dan pertanian.

Beberapa Kerajaan Negeri tertentu dilihat tidak mematuhi ketetapan Majlis Tanah Negara (MTN) kerana semasa Mesyuarat MTN kali ke-70 pada tahun 2014, semua Kerajaan Negeri digesa mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan kelulusan kegiatan perlombongan dan pengkuarian dalam HSK.

Kegiatan pengkuarian, perlombongan, pertanian dan lain-lain pengubahan guna-tanah dalam HSK juga boleh menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas serta akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.

Kerajaan negeri perlu wajib mengganti semula kawasan hutan simpan kekal yang telah dimansuhkan.

Gesaan dan cadangan

KUASA menggesa dan berharap supaya semua kerajaan negeri:

i. Mewajibkan mengganti semula kawasan HSK yang telah dimansuhkan mengikut Seksyen 12, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) dan menyiarkan maklumam kawasan yang diganti;

ii. Meminda peruntukan undang-undang sedia-ada berkaitan pengeluaran kawasan tanah daripada HSK. Tujuan pindaan adalah supaya apabila Kerajaan Negeri hendak memansuhkan status tanah daripada HSK perlu terlebih dahulu diadakan penglibatan awam sebagaimana yang dilaksana di negeri Selangor;

iii. Dasar yang menggalakkan pembangunan ladang monokultur (ladang hutan) perlu diperhalusi semula dan sebaiknya tidak digalakkan dilaksana dalam HSK tetapi digalakkan di kawasan berstatus tanah kerajaan dan tanah milik terbiar / terosot;

iv. Perlu mengambil maklum bahawa Majlis Tanah Negara (MTN) telah membuat ketetapan semasa Mesyuarat MTN kali ke-70 pada tahun 2014 supaya semua Kerajaan Negeri mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan kelulusan kegiatan perlombongan dan pengkuarian dalam HSK;

v. Mewartakan semua kawasan berhutan yang dikategori Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS Tahap 1) sebagaimana yang dinyatakan didalam Rancangan Fizikal Negara (RFN) samada berstatus HSK (mengelaskan sebagai hutan perlindungan mengikut Seksyen 10, Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313]), Taman Negeri, Taman Negara / Rizab Hidupan Liar dan lain-lain rizab;

vi. Mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penerokaan haram di kawasan Rangkaian Ekologi ‘CFS’ serta mewartakan sebagai HSK (sekiranya masih berstatus Tanah Kerajaan dan Tanah Milik) dan mengelaskan sebagai hutan perlindungan mengikut Seksyen 10, Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] (sekiranya berstatus HSK);

vii. Tidak meluluskan lagi cadangan pembangunan dan pengubahan guna-tanah di kawasan tanah tinggi (1,000 meter keatas) bagi mengelak lebih banyak berlakunya bencana alam dan kemusnahan ekologi. Malah Tuanku Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pernah menitahkan semua aktiviti di kawasan tanah tinggi perlu dihentikan. Baginda menitahkan semasa majlis pemasyhuran Geopark Kebangsaan Lembah Kinta pada Oktober 2018; dan

viii. Bersungguh-sungguh menangani isu pencerobohan dan penerokaan haram kawasan HSK dan mengambil tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Sekiranya semua Kerajaan Negeri di Malaysia komited untuk mempastikan kawasan berhutan terpelihara, adalah wajar menyegerakan cadangan-cadangan tersebut yang pada asasnya selari dengan dasar dan matlamat negara berkaitan pengurusan hutan secara berkekalan.

KUASA berharap dan berkeyakinan semua kerajaan negeri akan memberi perhatian dan maklum-balas yang positif.

*MEOR RAZAK MEOR ABDUL RAHMAN merupakan Penasihat Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA).