Malaysia Dateline

Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu buka peluang miliki rumah kos rendah

Kerajaan Negeri Pulau Pinang disarankan supaya segera membuka peluang bagi golongan berpendapatan rendah untuk memilki kediaman kos rendah yang dibina tatkala ini.

Malah tatacara dan urusan bagi memiliki kediaman tersebut tidak harus disulitkan melalui pelbagai birokrasi.

Demikian saranan yang dibuat oleh Pengerusi Persatuan Demi Rakyat Pulau Pinang, M.Navaligam.

 Pengerusi Persatuan Demi Rakyat Pulau Pinang, M.Navaligam

Jelasnya lagi, banyak projek perumahan rakyat masih belum diisi sepenuhnya, sedangkan yang menanti untuk mendapatkan kediaman begitu ramai.

“Sebagai contoh projek perumahan rakyat atau PPR yang ada di Ampang Jajar, Mak Mandin amat banyak sekali.

“Namun begitu rumah pangsa belasan tingkat tersebut masih terlalu banyak tidak berpenghuni khususnya di Blok C sehinggakan ia menjadi tempat lepak dan tidak bermoral mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Apa kurangnya dengan perumahan kos rendah Desa Wawasan, Bukit Mertajam juga menghadapi nasib yang sama tidak bepenghuni, ” ujarnya lagi.

Blok Pangsapuri Ampang Jajar yang didakwa masih banyak lagi tidak berpenghuni hingga kini khususnya Blok C.

Sehubungan itu katanya, lambakan kekosongan unit kediaman yang tidak berpenghuni amat merugikan kerajaan sendiri sekiranya ia tidak diduduki.

“Selain itu pembinaan rumah kos rendah harus diberi keutamaan dari rumah mampu milik yang hanya boleh dilihat tapi tidak boleh dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah.

“Lebih tidak relevan apabila kediaman rumah mampu milik dibangunkan dikawasan golongan berpendapatan rendah sepertimana yang sedang dibina di Mak Mandin, Seberang Perai Utara sekarang.

Rumah Mampu Milik, The Park di Mak Mandin yang dijual dengan harga RM247,000 tidak mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah.

“Sekiranya ia hanya dapat dilihat tanpa dapat dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah, maka ia adalah suatu yang malang setelah pembelaan tidak dapat direalisasikan bagi golongan tersebut, ” tegasnya.

Oleh kerana itu katanya Persatuan Demi Rakyat Pulau Pinang memohon agar kerajaan negeri memberi prioriti kepada keperluan kediaman bagi golongan berpendapatan rendah jika dibandingkan dengan rumah mampu milik yang mencecah harga melebihi RM240,000 dan tidak mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah.