Kerajaan Negeri Pulau Pinang prihatin isu tebatan banjir

Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan mencari alasan kejadian banjir teruk berlaku di negeri itu daripada tugas dan tanggungjawab untuk berdepan dengan masalah banjir yang serius berlaku baru-baru ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menjelaskan, kerajaan negeri memalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) telah menerima cadangan Ahli MMK Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow untuk segera menjalankan 33 projek-projek kerja kecemasan bagi mengorek dan memperbaiki longkang dan perparitan yang rosak sebanyak RM2.5 juta bagi seluruh Negeri Pulau Pinang.

Bahkan ujarnya lagi, MMK juga telah meluluskan arahan beliau kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan pemaju untuk memperbaiki tanah runtuh di Taman Setia Green di Sungai Ara; Kondominium Green Lane Park di Solok Tembaga di Seri Delima dan Pangsapuri Kayangan Putri Mutiara di Medan Fettes di Tanjung Tokong yang menelan perbelanjaan lebih RM2 juta.

Guan Eng berkata, kerajaan Negeri telah meluluskan langkah serampang dua (2) mata iaitu untuk menyiapkan dan meneruskan projek-projek tebatan banjir di bawah Kerajaan Negeri dan agensinya sebanyak RM405 juta dan; mendesak Kerajaan Persekutuan menjalankan projek tebatan banjir dengan lebih cepat.

“Bagaimanapun projek tebatan banjir oleh kerajaan Persekutuan bernilai RM1.4 bilion yang diumumkan sebelum ini, hanya RM300 juta projek yang dibelanjakan setakat ini. Mana perginya baki RM1.1 bilion yang telah hilang itu?

“Perlu dinyatakan bahawa dengan hujan selebat ini akibat tempias besar Taufan Doksuri, apa-apa Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang sudah siap (termasuk RTB Sungai Pinang) tidak akan menghalang berlakunya banjir tetapi siapnya RTB ini akan mengurangkan kesan buruk dan negatif banjir ini.

“Oleh itu RTB Kerajaan Persekutuan khususnya RTB Sungai Pinang harus dimulakan dengan segera,” kataya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengumumkan bantuan ‘one-off” sebanyak RM400 kepada 200 mangsa banjir di negeri itu.

Dalam kejadian banjir kilat yang melanda negeri itu pada 15 September lalu telah melumpuhkan lima daerah di Pulau Pinang.

BACAKerajaan Pulau Pinang beri bantuan ‘one-off’ bantu mangsa banjir