Malaysia Dateline

Kerajaan negeri rancang laksana pemutihan jeti-jeti di Johor

– Kerajaan negeri merancang untuk melaksanakan pemutihan buat jeti-jeti yang terdapat di Johor dalam tahun ini, terutamanya yang beroperasi tanpa permit, yang membabitkan aktiviti import dan eksport.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri berkata ketika ini terdapat ratusan jeti yang tidak berdaftar di Johor, yang menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa.

Katanya ia termasuk jeti perikanan, jeti ‘barter trade’ dan juga jeti penumpang, yang dilihat berhadapan dengan pelbagai risiko termasuk berlakunya kemalangan sekiranya masih terus beroperasi.

“Kita merancang untuk membangunkan satu jeti berpusat di setiap daerah di mana selain mementingkan tahap keselamatan, jeti yang bakal dibina ini juga akan dapat mengelak sebarang aktiviti yang tidak sihat seperti kegiatan penyeludupan dari negara jiran.

“Ia juga sekaligus dapat mengawal dan mengekang aktiviti kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di pintu masuk negeri melalui jeti-jeti haram yang ada,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke jeti-jeti di daerah ini, pada Isnin.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Solihan berkata buat masa ini hanya jeti penumpang sahaja yang telah berdaftar dengan pihak berkuasa, dan menurutnya ketika ini tidak ada satu sistem pendaftaran yang baik berkaitan dengan jeti-jeti ini, dan beliau memberi contoh di daerah Batu Pahat yang menurutnya terdapat kira-kira 40 jeti, namun hanya empat sahaja yang mempunyai kebenaran untuk beroperasi.

Sementara itu Mohd Khuzzan berkata dari aspek kesihatan, pihaknya menyokong pembinaan jeti-jeti berpusat ini kerana Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) buat masa ini tidak mempunyai tempat yang khusus untuk melakukan proses pensampelan terhadap barang-barang yang turun di kawasan jeti berkenaan.

“Seperti di daerah Batu Pahat yang merupakan salah satu pintu masuk utama import kelapa di negara ini, pada tahun 2017 sahaja terdapat 1,800 konsainan kelapa yang diimport dari Sumatera, Indonesia melalui daerah ini serta beberapa bahan makanan lain seperti daging, kelapa putih, gula melaka, siput dan lain-lain lagi.

“Setelah adanya jeti berpusat nanti, ia akan memudahkan lagi kerja persampelan oleh pihak kami,” katanya.

— BERNAMA