Malaysia Dateline

Kerajaan negeri sambut baik hasrat PVATM NS bangunkan ‘perkampungan veteran’

Kerajaan negeri menyambut baik hasrat Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Sembilan untuk mewujudkan ‘perkampungan veteran’ Tampin, dalam usaha membela nasib bekas tentera.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pihaknya akan memberikan bantuan berkaitan untuk memastikan hasrat itu dapat dilaksanakan dalam kadar segera.

“Apabila mereka mengumumkan akan bangunkan tanah di Tampin, ini perkara yang sangat dialu-alukan dan kerajaan negeri akan berikan sokongan untuk pastikan hasrat ini dapat dilaksanakan

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Perwakilan Kali Ke-66 Tahun 2019 Persatuan Veteran ATM Negeri Sembilan di sini, hari ini. Turut hadir Presiden PVATM Kapt (B) Datuk Sharuddin Omar dan Yang Dipertua PVATM Negeri Sembilan Mej (B) Datuk Sazali Ismail.

Terdahulu, Aminuddin berkata PVATM haruslah meneruskan proses transformasi untuk kekal relevan dan dapat diterima sepenuhnya oleh pucuk pimpinan negara dan negeri serta rakyat jelata, terutama dalam suasana Malaysia baharu.

“Pucuk pimpinan dan akar umbi PVATM adalah penyambung warisan dan perjuangan yang ditinggalkan oleh rakan-rakan seperjuangan yang terdahulu.

“Dengan kekuatan dan kesatuan yang ada, saya berharap PVATM akan terus kekal sebagai peneraju dan penggerak perjuangan semua veteran di Negeri Sembilan khasnya dan Malaysia amnya,” katanya.

Sementara itu, Sazali berkata tanah PVATM Negeri Sembilan seluas 40 ekar di Tampin itu akan dibangunkan sebagai perkampungan veteren dengan kediaman yang akan dijual pada harga yang murah berbanding harga pasaran.

“Kita juga akan bina dua unit rumah untuk veteren yang kurang upaya termasuk madrasah… veteren yang tidak mempunyai keluarga dan hidup sendiri akan kita ambil dan letakkan di perkampungan ini untuk kita jadikan sebagai keluarga angkat,” katanya.

Pada majlis itu, Aminuddin turut mengumumkan pemberian sumbangan berjumlah RM150,000 kepada PVATM Negeri Sembilan.

Selain itu, bapa Aminuddin, Harun Selamat turut dianugerahkan Pingat Setia Sentiasa Berjuang yang disampaikan melalui Aminuddin.– BERNAMA