Malaysia Dateline

Kerajaan Negeri Selangor tidak benarkan pemaju naik taraf rumah kos rendah

Kerajaan Negeri Selangor tidak benarkan naik taraf mana-mana projek rumah kos rendah rendah atau Rumah Selangorku oleh pemaju yang bertujuan untuk mengaburi mata pembeli dalam usaha untuk menaik kos rumah yang dibina di negeri ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan BandarNegeri Selangor Datuk Iskandar Samad berkata, Kerajaan Negeri telah menerima aduan bahawa terdapat pemaju yang memaksa malah mengugut para pembeli agar menerima pakej “upgrading” dengan bayaran tambahan sehingga RM30,000.

Kerajaan Negeri Selangor tidak akan membenarkan mana-mana pemaju menaikkan harga Rumah Kos Rendah ( atau Rumah Selangorku Jenis A ) yang mesti dijual dengan harga RM42,000 atau RM35,000 sebuah bagi bekas peneroka bandar yang layak.

“Dengan pakej “upgrading” ini pembeli kononnya akan mendapat kemasan lantai, kemasan dinding, siling dan kelengkapan rumah yang lebih baik.

“Walau bagaimanapun pembeli berkemungkinan boleh mendapat “upgrading” ini dengan harga yang lebih murah jika melantik kontraktor mereka sendiri,” ujarnya dalam kenyataan.

Justeru katanya, pembeli perlu melaporkan kepada Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor jika terdapat pemaju yang memaksa mereka menerima pakej tersebut.

Bahkan ujarnya, Pemaju juga tidak boleh mengugut untuk membatalkan perjanjian jual-beli pembeli jika mereka enggan menerima pakej itu.

Pembeli-pembeli juga dinasihatkan supaya membuat laporan Polis jika pemaju memaksa mereka dengan menggunakan kekerasan atau ahli-ahli kongsi gelap.

“Pakej “upgrading” ini merupakan taktik yang licik pemaju untuk menaikkan harga Rumah Kos Rendah.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa Kerajaan Negeri akan bertindak tegas terhadap para pemaju yang memaksa pembeli-pembeli,” ujarnya.

Di antara tindakan-tindakan yang boleh dilakukan oleh Kerajaan Negeri adalah seperti:

1.Mengeluarkan notis berhenti kerja ( stop work order ) untuk projek-projek pemaju yang terlibat sama ada projek Rumah Selangorku atau projek rumah harga bebas.

2. Menahan kelulusan Kebenaran Merancang atau kelulusan Pelan Bangunan untuk projek Rumah Selangorku atau projek rumah harga bebas.

Kerajaan Negeri ujarnya lagi, berharap Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan juga akan mengambil tindakan yang tegas seperti menarik balik atau menggantung lesen pemaju terbabit.