Malaysia Dateline

Kerajaan Negeri Sembilan bentang belanjawan berimbang RM457 juta

Kerajaan Negeri Sembilan hari ini membentangkan belanjawan berimbang RM457 juta bagi 2020, meningkat 6.28 peratus atau RM27 juta berbanding RM430 juta pada belanjawan 2019.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata belanjawan yang bertemakan ‘Melestari Ekonomi dan Mensejahtera Rakyat’ itu yang meliputi 16 inisiatif baharu, merangkumi RM457 juta anggaran mengurus dan RM457 juta anggaran hasil.

Beliau berkata anggaran belanjawan mengurus 2020 meliputi emolumen sebanyak RM180.10 juta, perkhidmatan dan bekalan (RM96.46 juta), perolehan aset (RM3.99 juta), pemberian dan bayaran tetap RM171.88 juta serta perbelanjaan lain RM4.55 juta.

“Seiring dengan tema belanjawan ‘Melestari Ekonomi, Mensejahtera Rakyat’, kerajaan negeri komited untuk meneruskan agenda pembangunan bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah di negeri ini dan terus kekal kompetitif dalam semua sektor pertumbuhan ekonomi sama ada perindustrian, pertanian, pelancongan mahupun perkhidmatan.

“Seperti yang digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), semua rakyat Malaysia berhak menikmati arus pembangunan yang bersifat inklusif merentasi sempadan agama, kaum dan bangsa. Untuk itu, kerajaan mencadangkan anggaran belanjawan pembangunan 2020 sebanyak RM101.20 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2020 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini, hari ini.

Bagi anggaran belanjawan pembangunan, Aminuddin berkata ia merangkumi pembangunan sosial sebanyak RM41.24 juta, kemudahan infrastruktur (RM20.87 juta), pentadbiran (RM11.78 juta), pertanian (RM13.29 juta), kerohanian (RM7.91 juta) dan pelancongan (RM6.11 juta).

“Sukacita saya mengumumkan di Dewan Yang Mulia ini, sehingga tarikh 21 Nov 2019, hasil kerajaan negeri adalah sebanyak RM463.78 juta berbanding sasaran belanjawan RM430 juta iaitu RM33.78 juta lebih tinggi dari sasaran belanjawan tahun 2019 dan merupakan kutipan hasil tertinggi dalam sejarah Negeri Sembilan.

“Untuk rekod, hasil yang dikutip pada tahun 2018 adalah sebanyak RM421.24 juta. Kutipan hasil negeri telah menunjukkan peningkatan ketara untuk ketiga-tiga pecahan hasil iaitu Hasil Cukai sebanyak RM145.52 juta atau 98.05 peratus, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM250.11 juta atau 111.11 peratus dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM68.15 juta atau 120.65 peratus,” katanya.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat dalam pada itu yakin hasil negeri akan terus meningkat pada tahun ini melepasi angka RM470 juta.

Menteri besar berkata secara keseluruhannya, Hasil Bukan Cukai seperti premium, permit, pendaftaran lesen, keuntungan pelaburan dan royalti sumber asli kekal sebagai penyumbang utama hasil negeri iaitu sebanyak RM242.69 juta ataupun 53.11 peratus.

Hasil Cukai bagi tahun 2020, yang terdiri daripada Cukai Langsung dan Cukai Tidak Langsung, dijangka menyumbang sebanyak RM152.45 juta ataupun 33.36 peratus daripada keseluruhan hasil.

Beliau berkata berbanding belanjawan 2019, Hasil Cukai kerajaan negeri dijangka mengalami kenaikan sebanyak 2.72 peratus berikutan daripada pertambahan hak milik baharu dan menjangkakan akan memperolehi sebanyak RM61.86 juta ataupun 13.54 peratus dari Terimaan Bukan Hasil seperti bayaran balik pinjaman, pemberian dan pelbagai terimaan dari Kerajaan Persekutuan.

Aminuddin berkata pertumbuhan positif hasil Negeri Sembilan yang sedang dilalui sekarang ini diharap akan kekal dan berdaya tahan untuk satu tempoh yang panjang dan untuk mencapai matlamat itu, perancangan jangka panjang perlu disiapkan dengan rapi supaya ia berjaya direalisasikan.

Untuk itu beliau menggariskan empat ciri penting bagi mencapai matlamat itu iaitu ekonomi berteraskan ilmu, pengupayaan ekonomi dalam nilaian tinggi, pengupayaan ekonomi berteraskan sumber strategik dan penerokaan hasil dalam keupayaan kapasiti.

Selain itu, kemampanan ekonomi serta kesejahteraan rakyat di negeri ini turut dipacu oleh 16 inisiatif baharu yang diperkenalkan termasuk pemerkasaan bidang TVET dengan peruntukan RM10 juta, Akaun Amanah Penyelenggaraan Sekolah (RM1 juta), bayaran perubatan penjawat awam negeri (RM0.20 juta), dron untuk penguatkuasa (RM0.14 juta), Tabung Belia Harapan (Tabah) (RM0.10 juta) dan i-Suri (RM0.50 juta) selain mengekalkan 14 inisiatif sedia ada dalam belanjawan tahun lepas.

“Belanjawan tahun 2020 ini telah dirancang dengan penuh teliti bagi menjamin kemakmuran bersama yang lebih menyeluruh demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Persidangan DUN bersambung Isnin depan.