Malaysia Dateline

Kerajaan Negeri Sembilan kaji kaedah terbaik atasi masalah Pasar Borong Nilai 3

Kerajaan negeri sedang mengkaji kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah Pasar Borong Nilai 3 yang kini ‘dikuasai’ oleh warga asing.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri, khususnya Majlis Perbandaran Nilai (MPN) telah membuat beberapa cadangan dan insyaAllah perkara tersebut akan dibawa untuk diteliti bersama dengan semua agensi kerajaan yang lain.

“Masalah Pasar Borong Nilai 3 yang kini ‘dikuasai’ oleh pihak luar (warga asing) adalah satu perkara yang kita harus lihat semula dan saya telah berbincang dengan MPN untuk mengkaji keperluan untuk kita mengembalikan semula Pasar Borong Nilai 3 kepada peniaga tempatan.

“Salah satu pendekatan ialah mewujudkan Pasar Tani di Nilai khususnya di Nilai 3. Kita melihat di Nilai belum ada lagi Pasar Tani dan mungkin kita akan perkenalkan Pasar Tani di Nilai. Pasar Tani ini didapati lebih teratur dan lebih selamat memandangkan Nilai pada hari ini menjadi tumpuan penduduk sekitar dan dari luar Nilai,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau diminta mengulas laporan bahawa pusat jualan borong terkemuka di Negeri Sembilan, Nilai 3, yang kini dikuasai warga asing, khususnya dari Pakistan, Bangladesh dan Indonesia.

Aminuddin berkata jika Pasar Tani ini dibuat dengan cara terbaik dan promosinya juga terbaik, beliau yakin Nilai khususnya di Nilai 3, akan kembali semula kegemilangan Pasar Borong Nilai 3.

beliau berkata jika dahulu Pasar Borong Nilai 3 dipenuhi dengan peniaga tempatan tetapi kini didapati berubah wajah dengan kelibat peniaga tempatan yang jarang ditemui kecuali di gerai-gerai kecil di tepi jalan.

Sebaliknya, pusat jualan borong itu kini sudah didominasi warga asing, khususnya warga Pakistan yang kalau dahulu mereka hanya menjual permaidani, tetapi sekarang mereka menjual semua benda, katanya.

Pasar Borong Nilai 3 mula diperkenalkan pada Disember 2001.

— BERNAMA