Malaysia Dateline

Kerajaan Negeri Sembilan tingkat promosi produk pelancongan di daerah

Pelancongan di Negeri Sembilan bukan hanya tertumpu di pantai peranginan Port Dickson sahaja, tetapi banyak lagi tempat menarik untuk dikunjungi terutama di daerah-daerah, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata pelbagai destinasi pelancongan berasaskan ekologi atau alam semula jadi terdapat di setiap daerah yang keindahan lokasi eko pelancongan masih terpelihara.

“Namun, kurang promosi menyebabkan industri pelancongan di negeri ini agak muram. Selaras dengan itu, kerajaan negeri akan menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau untuk membantu menghasilkan video lokasi pelancongan menarik di negeri ini dan dimuat naik di laman web mereka.

“Laman web mereka menyediakan ruang pasaran cukup besar untuk promosi pelancongan Negeri Sembilan di dalam dan luar negara.

Pasukan produksi diberi kebebasan dalam menghasilkan video mengikut pendekatan dan idea mereka sendiri yang akan disiarkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Kuala Pilah “Food Trail” di Restoran Kak Lang D’Rimba semalam.

Amiduddin berkata menerusi video itu, ramai yang akan mengetahui produk pelancongan yang terdapat di daerah dan keistimewaannya sebelum diperkenalkan dan dipromosikan kepada pelancong domestik dan luar negara.

“Sebagai langkah awal, UiTM Rembau telah menghasilkan video pendek mengenai pelancongan di Kuala Pilah. Pada saya impak video pendek ini banyak kerana ramai yang melihat (menonton) dan ia boleh dikongsi dan ini memberi satu kelebihan,” katanya.

Mengenai Kuala Pilah ‘Food Trail’, beliau berkata ini adalah langkah awal untuk menjalankan promosi tentang keunikan masakan yang menjadi daya tarikan di Kuala Pilah.

– BERNAMA