Malaysia Dateline

Kerajaan Negeri sentiasa tingkatkan institusi pendidikan Islam, kata MB Kedah

Kerajaan Negeri Kedah akan senantiasa berusaha untuk meningkatkan institusi pendidikan Islam dengan pelbagai cara.

Selain itu institusi agama, fatwa, masjid, zakat, pendidikan Islam dan hal ehwal agama Islam akan tetap dilindungi.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Malah institusi tersebut akan diperkasakan sebagai medium kesatuan dan pembangunan modal insan yang berterusan.

Jelasnya lagi, bagi membantu sekolah-sekolah pondok tahfiz dan sekolah agama rakyat, kerajaan negeri akan melancarkan Tabung Islah Maahad Negeri Kedah atau TIMKed.

“Tabung tersebut bertujuan untuk membantu mengumpul dana bagi meningkatkan taraf insfrastruktur, keperluan asas dan juga pembelajaran institusi pendidikan Islam di negeri Kedah.

“Kerajaan negeri mengambil iktibar insiden kebakaran di Maahad Tahfiz sehingga ada yang terkorban,” ujarnya.

Kata beliau, tabung ini akan menyalurkan bantuan awal kepada sekolah-sekolah agama yang mengalami kerosakan atau memerlukan penambahbaikan supaya para pelajar dapat mendalami ilmu agama dengan selesa.

Disamping itu tegasnya, sebagai permulaan sebanyak RM100,000 akan disalurkan ke tabung tersebut, manakala jumlah bantuan akan ditentukan berdasarkan masalah yang dialami oleh sekolah terbabit.

“Ianya akan diberikan secara ‘one-off’ dan penglibatan sektor swasta untuk menyumbang kepada tabung ini amat dialu-alukan.

“Juga dicadangkan ialah penubuhan sebuah Yayasan Pendidikan Islam Darual Aman atau YPIDA.

“YPIDA akan berperanan untuk menjaga dan memelihara hal ehwal pendidikan Islam dan kualiti masa depan institusi pondok, sekolah agama rakyat dan tahfiz, ” tambah beliau lagi.

Menurut Mukhriz lagi, YPIDA akan melibatkan penglibatan semua pihak merangkumi sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan pondok di negeri Kedah.

“Ia juga akan bekerjasama dengan agensi kerajaan, swasta serta badan bukan kerajaan yang lain untuk membangun dan mengembangkan institusi pendidikan Islam di negeri ini bagi memastikan imej sistem pendidikan Islam dapat diperbaiki dan diperkasakan.

“Skim Takaful Murabbi Darul Aman juga akan dilancarkan tidak lama lagi dengan tujuan untuk membantu empat kumpulan guru yang disasarkan sekiranya ditimpa musibah atau kecelakaan dan seumpamanya.

“Guru Kafa, Pondok, Tahfiz dan Takmir Masjid merupakan kumpulan sasaran yang akan dilindungi melalui skim tersebut, ” sarannya lagi.

Beliau juga berkata seramai 3778 murabbi telah dikenal pasti akan turut dilindungi dibawah skim takaful tersebut.