Kerajaan Negeri Terengganu diingatkan tidak salah guna wang royalti minyak

Kerajaan  Negeri Terengganu diingatkan tidak salah guna wang royalti minyak

Kerajaan Negeri Terengganu diingatkan agar baki royalti minyak yang disalurkan kerajaan Persekutuan akan dapat digunakan untuk membela kepentingan rakyat di negeri itu.

Naib Ketua Pemuda AMANAH Terengganu Zamir Ghazali berkata, pemuda AMANAH Terengganu akan menjadi mata dan telinga untuk memantau sebarang penyalahgunaaan wang milik rakyat di negeri itu yang diperintah Pas.

“AMANAH berharap kerajaan negeri dapat menggunakan sebaiknya hasil wang royalti minyak untuk tujuan tersebut, pada masa yang sama
kami turut menerima keterbukaan kerajaan persekutuan yang tidak lagi menyekat pemimpin pembangkang untuk masuk ke agensi kerajaan persekutuan termasuk ke sekolah-sekolah.

“Pemuda AMANAH Negeri Terengganu menyambut baik tindakan kerajaan persekutuan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang mengembalikan hak royalti minyak milik Negeri Terengganu. Tindakan ini sekaligus membuktikan pentadbiran Pakatan Harapan komited dalam menunaikan manifesto pilihan raya umum ke 14 yang lalu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Zamir yang juga Ketua Pemuda AMANAH Kuala Terengganu berkata, sejak parti itu ditubuhkan pada 2015, AMANAH sentiasa berusaha menuntut agar royalti minyak ini dikembalikan sejak ia ditarik balik pada tahun 2000.

Katanya lagi, pemulangan royalti ini amat bermakna kepada rakyat negeri Terengganu dimana ia merupakan sumber utama kewangan kerajaan negeri Terengganu dan diharap wang ini akan digunakan sepenuhnya untuk kepentingan rakyat negeri Terengganu.

“Pemuda AMANAH Terengganu memberi amaran keras supaya hak royalti ini tidak disalahguna untuk kepentingan parti politik sebagaimana desakan Mursyidul Am PAS sebelum ini agar duit royalti minyak Terengganu turut disalurkan kepada kawasan yang PAS hilang deposit pilihan raya,” ujarnya.

Sebelum ini katanya, Pengerusi AMANAH Terengganu, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah pernah mengariskan lima kepentingan hak royalti minyak ini dikembalikan iaitu ;

a. Membasmi kemiskinan negeri Terengganu yang kini mencatat kemiskinan rakyat antara yang tertinggi di Malaysia.
b. Memulihkan sektor ekonomi penting negeri Terengganu seperti pertanian, perindustrian dan pelancongan.
c. Meningkatkan pendapatan rakyat berpendapatan rendah.
d. Menyediakan lebih banyak fasiliti awam yang berkualiti seperi jalan raya, elektrik, air di pedalaman dan kampung-kampung.
e. Meningkatkan keselamatan perairan Terengganu dan memulihkan ekosistem akuatik.

Justeru katanya lagi Pemuda AMANAH Terengganu akan sentiasa memantau dan memerhati tindak tanduk pemimpin dari kerajaan negeri dalam hal kepentingan rakyat dan negeri.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk mendesak keterbukaan ini dikaji semula sekiranya wujud salah guna kuasa oleh Pas di peringkat negeri Terengganu,” ujarnya.

Sebelum ini Dr. Mahathir memberitahu, penyaluran baki royalti minyak kepada Terengganu akan dise­lesaikan apabila kerajaan Persekutuan mem­punyai kewa­ngan mencukupi.

Beliau bagaimanapun tidak meletakkan sebarang sasaran tempoh bagi menyalurkan bayaran berkenaan.

Sehingga kini, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan sudah membuat pembayaran sebanyak tiga kali kepada Terengganu yang berjumlah RM450 juta.