Malaysia Dateline

Kerajaan Negeri tiada masalah tambah peruntukan banjir, kata MB Johor

Kerajaan negeri tiada masalah untuk menambah peruntukan bantuan yang diberikan kepada agensi terlibat bagi membantu mangsa?-mangsa banjir yang terjejas di Johor, namun ia bergantung kepada keperluan.

Menteri Besar Datuk Dr.Sahruddin Jamal berkata ketika ini kerajaan negeri telah menyalur peruntukan RM1.1 juta kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai bantuan banjir, dan kerajaan persekutuan juga telah menyalurkan RM500,000 sebagai bantuan.

“Jadi, kalau ada keperluan kita akan bagi lagi, tidak ada masalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sedili Kechil, di Kota Tinggi  pada Ahad.

Sahruddin juga menegaskan pihaknya akan berusaha menangani bencana itu sebaik mungkin dengan merujuk masalah-masalah yang berbangkit kepada agensi yang berkenaan.

Beliau seterusnya menasihatkan penduduk agar mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah ke PPS atau kawasan yang selamat sekiranya rumah didiami terjejas.

Turut menyertai beliau melawat PPS yang menempatkan seramai 149 mangsa dari 39 keluarga itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah merangkap Pegawai Daerah Kota Tinggi. Farizal Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri Johor Lama, Rosleli Jahari.

— BERNAMA