Malaysia Dateline

Kerajaan negeri tidak peduli, keluarga miskin terpaksa redah hutan cari rezeki

Kesan peningkatan kos sara hidup yang cukup membebankan menyebabkan begitu ramai rakyat amat terdesak sehinggakan terpaksa menambah punca pendapatan dengan membuat pelbagai jenis pekerjaan.

Begitu juga dengan keluarga Siti Asa Suwamin yang miskin lagi daif di Kampung Wai, Kuala Perlis.

Hidup beliau sekeluarga kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Adakala anak-anaknya makan sehari sekali dan ada juga yang menjamah makanan dua hari sekali.

Rumah yang uzur lagi robek setiap penjuru tidak mempunyai bekalan air dan elektrik menjadi tempat berteduh Siti Asa bersama suaminya Nazmi Nyan serta enam orang anak mereka yang berusia antara tiga tahun hingga enam belas tahun.

Siti Asa sedang menyiapkan daun nipah untuk diikat menjadi rokok daun.

Lebih menyedihkan lagi Siti Asa terpaksa mencari daun-daun nipah di tengah hutan bagi dijadikan rokok daun sebelum dijual kepada pembeli sedia ada.

Setiap ikat rokok daun nipah dijual dengan harga seringgit menurut Siti Asa.

“Untuk mendapatkan daun nipah saya terpaksa bergerak perlahan-lahan ke dalam hutan.

“Setiap ikat rokok daun yang telah siap dikering dan dibalut akan dijual dengan harga seringgit sahaja.

“Tapi kalau hari hujan, saya tidak dapat keluar ke hutan untuk mencari daun nipah, ” jelasnya sayu.

Zafril Eusoff menyampaikan sumbangan kepada Siti Asa semasa menziarahi keluarga miskin tersebut baru-baru ini.

Exco Angkatan Muda PKR Pusat, Zafril Eusoff semasa menziarahi keluarga tersebut mendapati mereka hanya menggunakan lilin untuk mendapat cahaya pada waktu malam.

Manakala keadaan rumah tanpa bilik tersebut amat uzur dan daif lagi usang.

Katanya, kerajaan negeri seharusnya memberi perhatian terhadap keluarga daif yang melarat seperti apa yang ada di Kampung Wai, Kuala Perlis itu.

Namun begitu ia tidak dilaksanakan walaupun tempoh untuk mentadbir negeri semakin singkat menjelang pilihan raya umum yang semakin hampir.

“Amat memalukan apabila kerajaan negeri Perlis yang didokong oleh Umno-BN termasuklah bagi kawasan Dun Kuala Perlis, gagal untuk membela nasib sebuah keluarga miskin lagi daif.

“Cuba bayangkan hanya dengan masuk ke dalam hutan untuk mendapatkan daun nipah dan dijual dengan harga satu ringgit setiap ikat mengambil masa yang begitu lama.

“Kerajaan negeri yang mempunyai pelbagai akses boleh membela nasib keluarga ini sekiranya wakil rakyat mereka serius untuk membantu golongan miskin,” ujarnya.

Beliau juga berkata, wakil rakyat BN hanya akan turun padang menjelang pilihan raya umum bagi mendapat sokongan pengundi.

Sedangkan sejak memenangi pilihan raya umum yang lalu, bayang mereka tidak pernah kelihatan sehinggalah PKR dan Pakatan Harapan Perlis mengetahui masalah ini.

Oleh kerana itu katanya, rakyat negeri Perlis harus segera sedar dan membuat perubahan dengan tidak memberi apa jua sokongan kepada Umno-BN untuk terus menerajui kepimpinan.

Tambahnya lagi, dengan memberi mandat kepada Umno-BN di Perlis, ia akan menambah lagi kesengsaraan rakyat marhaen dan golongan berpendapatan rendah yang tidak diberi pembelaan yang sewajarnya.

 

MOHD ALI HASHIM

#DSC 0037 – Siti Asa sedang menyiapkan daun niph untuk diikat menjadi rokok daun.
#DSC 0052 – Zafril Eusoff – menyampaikan sumbangan kepada Siti Asa semasa menziarahi keluarga miskin tersebut baru-baru ini.