Malaysia Dateline

Kerajaan negeri tidak terlibat dalam semakan tarif air di P Pinang

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) tidak menetapkan masa semakan semula tarif air di Pulau Pinang dan masa serta pelaksanaan semua semakan semula tarif air di Malaysia tertakluk kepada kelulusan oleh Kerajaan Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutif, PBA Holdings Bhd dan PBAPP, Datuk Ir Jaseni Maidinsa (gambar) dalam satu kenyataan beliau hari ini berkata dalam sebuah laporan media bertarikh 26.5.21, Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng dipetik sebagai berkata kerajaan negeri Pulau Pinang harus menghentikan rancangan untuk menaikkan tarif air.

Sejajar dengan itu kata Jaseni, kerajaan negeri tidak memohon semakan tarif air dan operator air berlesen di Pulau Pinang, iaitu PBAPP yang mengemukakan permohonan semakan tarif air terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“PBAPP memohon kepada SPAN untuk semakan tarif dua tahun lalu pada tahun 2019 bagi memenuhi syarat memperbaharui Lesen SPAN untuk beroperasi bagi tahun 2020-2022 dan SPAN pula memutuskan untuk mengadakan rundingan awam mengenai permohonan semakin tarif PBAPP pada tahun 2021.

“Perlu diketahui permohonan PBAPP 2019 telah pun mematuhi arahan SPAN yang mewajibkan semua operator air di Malaysia menetapkan tarikh yang berpatutan sesuai dengan formula Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) SPAN.

“Manakala pada tahun 2021, SPAN turut melaksanakan rundingan awam berhubung cadangan semakan tarif di Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor dan pada tahun 2019 serta 2020, SPAN telah melaksanakan rundingan awam yang serupa berhubung cadangan semakan tarif di Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Labuan, ” ujar beliau.

Malah kata Jaseni lagi, setelah semua rundingan awam selesai, SPAN akan mengemukakan cadangannya mengenai semua cadangan semakan tarif air kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan ianya kemudian akan dikemukakan kepada kabinet untuk kelulusan.

Tambah beliau, setelah kabinet memberi kelulusannya, Menteri KASA akan mewartakan tarif baru yang diluluskan untuk pelaksanaan oleh operator air.

Oleh itu tegasnya, berdasarkan fakta-fakta tersebut, MCA seharusnya memberikan komen dan maklum balas mereka kepada Kerajaan Persekutuan.

Jaseni juga menafikan dakwaan Tan bahawa pemerintahan Dap dalam tempoh 10 tahun di Pulau Pinang kadar air telah melonjak empat kali ganda iaitu meningkat lebih 20 peratus.