Malaysia Dateline

Kerajaan nilai semula kedudukan ATM di Arab Saudi

Kerajaan sedang kaji semula kedudukan ATM di Arab Saudi, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Kerajaan sedang menilai semula keputusan kerajaan terdahulu yang menempatkan satu pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Arab Saudi bagi tujuan siapsiaga untuk memindahkan rakyat Malaysia di Yaman.

Menurut Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, sungguhpun Malaysia sama sekali tidak terlibat dalam operasi menyerang Yaman, kehadiran ATM di Saudi secara tidak langsung menyebabkan Malaysia terperangkap dengan konflik di Timur Tengah.

“Kerajaan akan membuat keputusan dalam masa terdekat mengenai perkara ini selepas penilaian selesaikan dijalankan,” kata Mohamad dalam kenyataan itu.

Menurut Mohamad, Malaysia sejak dari awal lagi mengamalkan dasar berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana ideologi politik kuasa-kuasa besar dunia.

Malahan, katanya, kerajaan Malaysia terlibat secara aktif dalam Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan pernah mempengerusikannya.