Malaysia Dateline

Kerajaan P Pinang agih RM10 juta bantu golongan terkesan akibat PKP

Kerajaan negeri Pulau Pinang akan mengagihkan RM10 juta kepada lima kumpulan sasaran pertama bagi melancarkan aliran tunai serta mengurangkan impak dan kos operasi yang terpaksa ditanggung golongan yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka merangkumi peniaga dan penjaja berlesen, penarik beca, pengusaha kantin sekolah yang berdaftar, perkhidmatan gunting rambut, salun kecantikan, spa, refleksologi dan bekam.

Menurut Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow, bantuan khas kewangan dalam bentuk one-off sebanyak RM500 akan diagihkan kepada penjaja yang berniaga dalam kompleks makanan, kedai persendirian, peniaga pasar tani FAMA serta penjaja yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan.

“Dianggarkan seramai 14,712 peniaga terlibat dengan jumlah peruntukan sebanyak RM7,356,000 serta bantuan khas sebanyak RM200 kepada 288 penarik beca dengan anggaran peruntukan sebanyak RM57, 600.

“Manakala pengusaha kantin sekolah yang berdaftar dianggarkan sejumlah RM231, 000 akan diberikan kepada 462 pengusaha tersebut dan bantuan sebanyak RM500 dalam bentuk one-off kepada perkhidmatan gunting rambut, salun kecantikan dan spa, pusat refleksologi dan bekam.

“Selain itu seramai 2,929 peniaga yang berlesen dengan pihak berkuasa tempatan yang telah dikenal pasti akan menerima sumbangan peruntukan dengan anggaran peruntukan sejumlah RM1, 464,500,”ujar beliau.

Tambah Chow lagi, semua 59 Adun, Ahli Parlimen kerajaan negeri, Adun Angkat, Pegawai Penyelaras Kadun serta Pegawai Penyelaras Khas Parlimen akan turut menerima peruntukan khas sebanyak RM30, 000 bagi membolehkan bantuan kepada golongan yang terkesan dapat disalurkan dengan segera.