Kerajaan P Pinang belanja RM412 juta untuk program kebajikan

Kerajaan P Pinang belanja RM412 juta untuk program kebajikan

Sebagai sebuah kerajaan yang sentiasa memberi perhatian terhadap rakyat yang telah memberi sokongan untuk terus menerajui kepimpinan negeri, kerajaan Pulau Pinang telah menyalurkan sebanyak RM412 juta sejak 2008 lagi bagi pelbagai program kebajikan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima, RSN Rayer berkata, pelbagai program yang telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri sejak 2008, berjaya mengubah nasib rakyat.

Beliau juga berkata, pelbagai program yang telah diperkenalkan oleh kerajaan negeri sejak menjadikan Umno dan BN sebagai pembangkang dalam tahun 2008 yang lalu, telah berjaya mengubah nasib rakyat.

“Setelah kerajaan negeri memperkenalkan sumbangan kepada warga emas sebanyak RM100 barulah BN mendapat idea dengan mulai memberikan BR1M kepada rakyat.

“Tidak setakat itu, kerajaan negeri ketika itu semasa berada dibawah Pakatan Rakyat terus mengorak langkah dengan memberikan sumbangan berupakan ‘one-off’ juga kepada pelajar emas sebanyak RM100 setahun kepada pelajar tahun satu dan tahun empat serta tingkatan satu dan tingkatan empat.

“Kerajaan negeri juga amat prihatin terhadap waris warga emas dengan memperkenalkan sumbangan sebanyak RM1000 bagi pengurusan pengebumian warga emas dan sebagainya,” katanya dalam program ‘Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi’ yang diadakan di Penanti, Permatang Pauh malam tadi.

Selain dari itu katanya, sumbangan juga turut diberikan kepada pelajar yang berjaya meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Di samping itu katanya, kerajaan negeri turut prihatin dan memberi sumbangan kepada program anak emas bagi bayi yang baru dilahirkan.

“Kerajaan negeri juga tidak pernah meminggirkan mana-mana golongan masyarakat sehinggakan sumbangan kepada hal ehwal agama Islam juga ditambah saban tahun.

“Selain dari itu sebidang tanah seluas 3.49 ekar turut disediakan oleh kerajaan negeri bagi pembinaan Kompleks Mahkamah Syariah yang tidak pernah dilaksanakan oleh kerajaan BN sebelum ini.

“Akhirnya kompleks tersebut telah berjaya dimanfaatkan di Jalan Scotland dengan pelbagai kemudahan yang telah disediakan,” tegasnya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri tidak akan meminggirkan mana-mana golongan yang ada di Pulau Pinang selagi ia ditadbir oleh Pakatan Harapan.

Adalah difahamkan selain sumbangan tersebut, kerajaan negeri juga menyediakan sumbangan kepada penarik beca sebanyak RM1200 setahun dengan bayaran sebanyak RM100 setiap bulan.

Turut mendapat manfaat ialah pemandu teksi yang memperolehi sebanyak RM600 setahun bagi menukar tayar, operator bas sekolah yang berdaftar serta para nelayan yang diberikan sumbangan pukat oleh kerajaan negeri setiap tahun.

CATEGORIES