Malaysia Dateline

Kerajaan P.Pinang harus pastikan projek bina pulau-pulau tidak jejas periuk nasi nelayan

Kerajaan Negeri Pulau Pinang harus memastikan projek pembinaan pulau-pulau di selatan Pulau Pinang sepertimana yang direncanakan tidak akan menjejaskan periuk nasi para nelayan, kata Adun Telok Bahang, Zolkifly Md Lazim.

Beliau berkata, projek penanaman tukun di Pulau Kendi dan Pulau Rimau serta projek penanaman semula hutan bakau di Tanjung Tempoyak dan Pulau Betong perlu disegerakan.

Malah katanya, penanaman bakau amat penting kerana ia bukan sahaja sebagai agen untuk melindungi kukup yang menjadi habitat kepada hidupan laut tetapi juga sebagai sistem tebatan banjir yang berkesan buat Pulau Pinang.

“Pemantauan secara serius dan rapi mengenai kerja-kerja tambakan dimana pembinaan tembok pengasingan dan pagar kelodak yang mengelilingi kawasan tapak projek mesti berjaya mengawal penyebaran kelodak dan bahan-bahan asing keluar dari kawasan kerja supaya tidak mengganggu ekosistem perikanan.

“Harus diingatkan golongan nelayan merupakan mereka yang membayar harga bagi pembangunan negeri ini.

“Sehubungan itu, bagi membiayai infrastruktur pengangkutan yang maju, efisien serta menjadi pemangkin ekonomi agar setara dengan bandar-bandar lain seperti Kuala Lumpur maupun Singapura, harus dipastikan agar golongan nelayan tersebut turut mendapat manfaat dari kemajuan projek tersebut, ” tegasnya.

Beliau juga berkata, kesinambungan golongan nelayan ini amat penting bukan sahaja bagi memastikan Pulau Pinang tidak terputus bekalan makanan laut dan seterusnya terpaksa bergantung kepada import dari negara jiran.

Tambahnya, tidak dapat dinafikan terdapat banyak peluang penjanaan ekonomi yang terlepas pandang dalam aktiviti penangkapan ikan.

“Justeru itu adalah diharapkan kerajaan negeri tidak hanya setakat memberi pampasan berbentuk ‘one-off’ tetapi hendaklah melibatkan golongan nelayan tersebut menjadi sebahagian dari projek pembangunan di Pulau Pinang.

“Dalam mengejar pembangunan dan kemajuan, maka golongan nelayan yang telah sanggup membayar harga yang mahal melalui pengorbanan mereka tidak harus begitu mudah dilupakan.

“Sebaliknya mamantau dan memperjuangkan nasib golongan nelayan akan tetap menjadi keutamaan serta tidak akan diabaikan, ” ujarnya lagi.