Kerajaan P.Pinang rancang bina tujuh ‘CAT’ untuk pekerja asing

Kerajaan P.Pinang rancang bina tujuh ‘CAT’ untuk pekerja asing

Kerajaan Negeri Pulau Pinang merancang untuk membina tujuh buah projek Kediaman Transit Berpusat (Centralised Accommodation Transit atau CAT) untuk pekerja asing dalam usaha menyelesaikan isu kehadiran warga asing yang ramai tinggal di kawasan penduduk negeri ini.

Ketua Menterinya Chow Kon Yeow berkata tujuh projek itu membabitkan pembinaan dua buah CAT di bahagian pulau dan lima buah di tanah besar membabitkan tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Enam daripada tujuh projek yang kerajaan negeri rancang itu telah pun diluluskan, manakala satu lagi masih dalam kajian dan pemantauan lanjut.

“Ini semua adalah usaha bagi menyelesaikan masalah sosial dan jenayah yang berlaku akibat kebanjiran warga asing dalam kejiranan penduduk tempatan dan CAT itu juga bagi mengawal isu sosial dan keselamatan golongan itu di Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu Chow melancarkan CAT pertama di Pulau Pinang iaitu Westlite Bukit Minyak, yang dibina syarikat pengendali kediaman pekerja, Centurion Corporation Limited, menerusi anak syarikatnya, Westlite Accommodation.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo serta Pengarah Urusan Perniagaan Kediaman Centurion Corporation Limited, Tony Bin.

Sementara itu, Jagdeep berkata idea untuk membina CAT ini tercetus semasa beliau mengunjungi Singapura pada 2015 dan melihat kelebihan sistem penginapan pekerja khusus di negara itu yang dikenali sebagai Purpose-Built Workers Accommodation atau PBWA.

“Selepas beberapa tahun, saya akhirnya gembira kerana sistem itu dapat dilaksanakan di Pulau Pinang, dan saya berharap ia dapat menyelesaikan masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat,” katanya.

Westlite Bukit Minyak adalah penginapan pekerja warga asing yang ketujuh dibina di negara ini, dengan enam lagi penginapan seumpamanya dibina di Johor.

Westlite Bukit Minyak yang dibina dengan kos RM72.3 juta itu juga mempunyai 366 unit apartmen dengan jumlah 6,600 katil, selain turut menyediakan kemudahan rekreasi, bilik membaca, dan bilik senaman.

Kediaman itu akan dibayar syarikat pekerja masing-masing dengan bayaran RM130 sebulan seorang.

– BERNAMA