Kerajaan P.Pinang sedia RM1.3 juta untuk bantuan kemasukan IPT

Kerajaan P.Pinang sedia RM1.3 juta untuk bantuan kemasukan IPT
Chong Eng(berdiri tengah) bersama sebahagian penerima sumbangan kerajaan negeri.

Bagi sesi kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sehingga Jun tahun ini, kerajaan negeri telah menyediakan sejumlah lebih RM1.3 juta bagi 1330 pelajar seluruh negeri ini.

Demikian dinyatakan oleh Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Chong Eng semasa menyampaikan sumbangan tersebut bagi Daerah Seberang Perai Tengah semalam.

Jelasnya, sumbangan yang diberikan membuktikan kerajaan negeri senantiasa prihatin dan menghargai setiap warga negeri ini.

Malah kata beliau lagi, sumbangan tersebut melibatkan sejumlah 1330 pelajar bagi seluruh Pulau Pinang sehingga Jun 2019.

“Bagi Daerah Seberang Perai Tengah sahaja jumlah sumbangan yang diberikan adalah kepada 347 orang pelajar.

“Manakala jumlah yang diagihkan adalah sebanyak RM270,200.

“Adalah diharapkan sumbangan tersebut dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh setiap keluarga, ” ujarnya.

Tambah Chong Eng lagi, dengan sumbangan yang diberikan oleh kerajaan negeri pada kali ini, ia diharapkan dapat membantu bagi proses pendaftaran para pelajar ke IPT.

Sumbangan yang diberikan kali ini turut merangkumi pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam, Institusi Pengajian Tinggi Swasta serta juga Politeknik.

Hadir sama dalam majlis penyampaian sumbangan yang telah diadakan di SP Arena Seberang Jaya ialah Adun Machang Bubok, Lee Khai Loon serta juga Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Kamarul Haizal Koderat.