Malaysia Dateline

Kerajaan P Pinang sediakan RM75 juta Pakej Bantuan Rakyat ekoran Covid-19

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sediakan pakej bantuan tambahan yang dianggarkan berjumlah RM 75 juta sebagai Pakej Bantuan Rakyat (PBR) ekoran penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow mengumumkan demikian setelah meneliti isu-isu yang timbul ekoran PKP serta mengambil kira keperluan rakyat Pulau Pinang.

Menurut beliau, objektif utama adalah bagi menyalurkan bantuan segera kepada golongan yang paling terkesan iaitu penjaja, peniaga kecil, pemandu teksi, penarik beca, pemandu e-hailing, OKU dan kumpulan B40

“Objektif kedua adalah bagi mengupayakan golongan pekerja supaya dapat berdiri semula dan meneruskan usaha menjaga diri, keluarga serta membangunkan negeri melalui produktiviti.

“Selain itu, ia juga berhasrat untuk membolehkan kelangsungan perniagaan di Pulau Pinang bagi memastikan ekonomi negeri akan terus dibangunkan pasca 31 Mac ini.

“Bantuan tunai dalam bentuk ‘one off’ sebanyak RM500 kepada peniaga kecil dan penjaja berlesen yang berdaftar dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai(MBSP) serta bantuan tunai ‘one off’ sejumlah RM500 juga kepada pemandu pelancong berdaftar,” jelasnya.

Beliau juga berkata bantuan dengan jumlah yang sama tersebut turut diberikan kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk golongan orang kurang upaya dan penerima Agenda Ekonomi Sejahtera.

Tambah Chow lagi, pemandu teksi dan penarik beca akan turut menerima insentif yang telah disediakan termasuk pengecualian sewa bulanan rumah sewa kerajaan negeri serta Projek Perumahan Rakyat.

Malah tegas beliau lagi, pengecualian turut diberikan kepada premis-premis perniagaan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan serta pengecualian sewa satu bulan bagi premis perniagaan milik kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan termasuk pasar awam, lot-lot kedai dan seumpamanya.

“Insentif khas juga diberikan sebanyak RM1000 melibatkan 226 masjid dan RM500 kepada 538 buah surau seluruh Pulau Pinang sebagai bantuan kos penyelenggaraan, pembersihan serta pembasmian kuman.

“Bantuan turut disalurkan kepada pesakit Covid 19 Pulau Pinang dengan sumbangan sebanyak RM500 dalam bentuk ‘one off’ serta bantuan tunai sebanyk RM1000 kepada waris pesakit yang meninggal dunia di Pulau Pinang.

“Insentif khas kepada semua wira barisan hadapan pihak berkuasa tempatan membabitkan Skuad Khas Covid 19 akan menerima sumbangan sebanyak RM300,” ujar beliau.

Sehubungan itu kata Chow lagi, bagi menghargai jasa barisan hadapan daripada agensi dan Jabatan Kerajaan Persekutuan seperti Jabatan Kesihatan Nsgeri, PDRM, ATM, APAM, Imigresen dan Rela sumbangan sebanyak RM300 turut disediakan.