Malaysia Dateline

Kerajaan P Pinang sediakan skim sewa beli perumahan, kata Exco

Sebagai sebuah kerajaan negeri yang prihatin terhadap keperluan rakyat serta ingin memberi peluang kepada mereka yang tidak layak mendapat pinjaman perumahan daripada institusi kewangan, skim sewa beli atau ‘rent to own’ telah disediakan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang mulai semalam.

Demikian dinyatakan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

Jelasnya lagi, bagi merealisasikan impian pemilikan rumah tersebut, setakat ini sejumlah 1,927 unit rumah mampu milik (RMM) telah pun disediakan oleh Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Tatkala ini kerajaan negeri telah pun menyediakan hampir 2,000 kediaman yang turut merangkumi rumah kos rendah dan sederhana rendah sebagai rumah pertama untuk dimiliki bagi mereka yang tidak layak mendapat pinjaman bank.

“Yang pasti sebahagian dari kediaman sedia ada akan diagihkan melalui skim sewa beli atau ‘rent to own’ yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri.

“Setidak-tidaknya kerajaan negeri dapat membantu 1,000 keluarga yang tidak layak untuk mendapat kemudahan pembiayaan dari institusi kewangan melalui skim sewa beli yang diperkenalkan kali ini, ” ujarnya.

Malah tegas Jagdeep lagi, skim sewa beli tersebut sebelum ini telah pun berjaya membuktikan bahawa ianya memberi peluang yang luas kepada mereka yang tidak layak memperolehi pembiayaan dari insitusi kewangan memilik rumah pertama mereka.

Tambahnya, sejak beberapa tahun yang lalu, skim tersebut yang turut disediakan bagi projek perumahan pangsa Taman Sungai Duri Permai dan projek perumahan ‘town house’ Taman Seruling Emas di Seberang Perai Selatan telah pun terbukti berjaya untuk direalisasikan dan memberi manfaat kepada golongan terbabit memiliki kediaman sendiri.