Malaysia Dateline

Kerajaan P.Pinang tanggung kos projek pasang meter paip air kepada 13 keluarga

Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin terhadap keperluan rakyat yang memerlukan, kerajaan negeri Pulau Pinang melalui Skim Pinjaman Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengambil inisiatif segera bagi membantu menyalurkan bekalan air bersih kepada 13 keluarga di kawasan Dun Penaga, Kepala Batas, melalui program Jelajah Desa.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow ketika meninjau proses bekalan air rawat dan bersih oleh kerajaan negeri.

Jelasnya lagi, PBAPP akan memberi pinjaman tanpa faedah sejumlah RM1500, manakala pemohon hanya perlu membayar balik kepada pihak PBAPP sebanyak RM30 melalui setiap kitaran bil bulanan yang dikeluarkan dua bulan sekali.

“Skim pembiayaan ini disediakan bagi mereka yang berpendapatan isi rumah kurang dari RM1000 sebulan.

“Daripada sejumlah 13 keluarga terbabit, tujuh buah rumah telah pun mendapat kemudahan bekalan air bersih, manakala enam lagi masih dalam proses bagi mendapat kemudahan bekalan tersebut.

“Walau bagaimana pun kerajaan negeri akan menanggung kos keseluruhan pembiayaan tersebut yang menelan belanja RM19,500, ” ujarnya.

Adalah difahamkan sejak tahun 2018 kerajaan negeri melalui program skim tersebut khususnya bagi kawasan Dun Bertam dan Penaga telah pun berjaya membantu seramai 51 keluarga dengan jumlah peruntukan mencecah sehingga RM76,500.