Malaysia Dateline

Kerajaan P.Pinang teruskan usaha laksana pilihan raya PBT

Kerajaan negeri Pulau Pinang berharap usaha dan perjuangan DAP untuk mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu dapat dilaksanakan pada masa akan datang.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri telah melakukan semua langkah yang perlu termasuk perundangan dalam usaha pelaksanaan pilihan raya PBT di negeri itu sejak beberapa tahun yang lepas.

“Imbas kembali, kita bukan sahaja meluluskan satu usul di dalam Dewan Undangan Negeri tetapi juga memperundangkan satu enakmen pilihan raya kerajaan tempatan.

“Usaha yang terakhir adalah membawa kes ini sehingga Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah yang paling tinggi kuasa penghakiman untuk membuat satu ‘judicial pronouncement’ atas usul yang dibentangkan oleh kerajaan negeri iaitu membolehkan kerajaan negeri mengadakan pilihan raya ini.

“Namun keputusan mahkamah rayuan adalah menidakkan permohonan pihak kerajaan negeri. Bagi kerajaan negeri kita sudah sampai penghujung usaha perundangan di negara ini. Kita berharap perjuangan kita dapat membawa hasil juga satu hari nanti,” katanya pada sidang media, hari ini.

Chow berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin, yang mengatakan kerajaan tidak merancang untuk mengadakan pilihan raya PBT berikutan kebimbangan kemungkinan perselisihan komuniti antara kawasan luar bandar dan bandar.

Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng pula berkata DAP ??????berpendapat terdapat keperluan untuk demokrasi yang lebih baik kerana orang harus diberi hak untuk mengundi.

Bagaimanapun, Chow yang juga Naib Pengerusi DAP kebangsaan berkata apa-apa perjuangan politik perlu berlandaskan kepada peruntukan undang-undang sedia ada dan pihaknya menyerahkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin untuk tindakan selanjutnya.

“Sebenarnya ia (pilihan raya PBT) bukan dalam manifesto Pakatan Harapan maka kita nampak setelah kenyataan perdana menteri mengenai isu ini, Menteri KPKT masih menyuarakan hasrat untuk meneruskan usaha bagi membolehkan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Jadi, kita menyerahkan bahagian perjuangan ini kepada menteri untuk meneruskan sebab ia di luar bidang kuasa kerajaan negeri di mana kita pun sudah melakukan apa yang boleh dilakukan,” katanya.