Kerajaan Pakatan Harapan wajar aktifkan OIC

Kerajaan Pakatan Harapan wajar aktifkan OIC

Sudah lama tidak mendengar berita mengenai kenyataan atau kegiatan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Walaupun sekretariat pertubuhan itu ada juga mengeluarkan kenyataan-kenyataan mengenai tindakan Israel di Gaza, serangan bom di Iraq dan isu Rohingya, tetapi impaknya berbentuk birokrasi diplomatik yang tidak memberi kesan nyata.

Sebenarnya Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC yang paling baru diadakan adalah pada 18 Mei lalu. Ia adalah berkaitan dengan pernyataan solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza terhadap serangan Israel.

Pada masa itu kerajaan Pakatan Harapan baru dibentuk. Malah pada 16 Mei, Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan yang pada masa ini merupakan Pengerusi OIC telah bercakap dengan Tun Dr Mahathir Mohamad melalui telefon mengenai isu itu.

Belum dibentuk

Namun Perdana Menteri tidak hadir pada sidang kemuncak yang diadakan di Istanbul itu kerana kerajaan Pakatan Harapan belum dibentuk dengan hanya beliau yang telah mengangkat sumpah. Menteri Luar hanya dilantik pada 9 Julai.

Tetapi banyak rakyat Malaysia tentu masih ingat bahawa negara ini menempa nama sebagai pemimpin OIC apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak pertubuhan itu pada 16 Oktober 2003. Selanjutnya sebagai Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir pun dilantik menjadi Pengerusi OIC.

Ucapan beliau di Sidang Kemuncak OIC ke-10 di Putrajaya International Convention Centre (PICC) itu menjadi dokumen bersejarah kerana ia mengupas masalah yang dihadapi oleh umat Islam yang dibuat secara terus terang dengan mengajukan penyelesaian yang banyak pihak setuju, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana sikap serta mentaliti umat Islam sendiri.

Kandungan ucapan Dr Mahathir menjadi kontroversi dan dikecam oleh pihak-pihak Barat yang antaranya menyifatkan beliau sebagai anti-Yahudi. Sedangkan beliau mengutarakan apa yang banyak orang di seluruh dunia merasakan tetapi tidak berani mengucapkan.

Namun beliau hanya menyandang jawatan Pengerusi OIC hanya untuk beberapa hari kerana pada 31 Oktober 2003, beliau melepaskan jawatan perdana menteri seperti yang diumumkan setahun sebelumnya. Jawatan Pengerusi OIC diambil alih oleh perdana menteri baharu iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau memegang jawatan itu sehinggalah 12 Mac 2008 apabila Senegal mengambil alih sebagai pengerusi OIC.

Hilang majoriti dua pertiga

Lima hari sebelum itu, beliau menerima tamparan politik yang perit apabila Barisan Nasional buat pertama kalinya kehilangan majoriti dua pertiga dalam parlimen.

Akibat kegagalannya itu beliau menerima tekanan politik khususnya dari Dr Mahathir sendiri supaya melepaskan jawatan perdana menteri.

Abdullah pun meletak jawatan dan beliau digantikan dengan Datuk Seri Najib Razak.

Pada masa ini Pengerusi OIC disandang oleh Turki sejak 14 April 2016. Erdogan adalah seorang tokoh negara Islam yang juga berani dan lantang menyuarakan pendirian beliau mengenai isu-isu yang membabitkan dunia Islam terutamanya mengenai Palestin dan Rohingya.

Bagi pengikutnya, bukan saja dalam Turki, Erdogan adalah penjelmaan semula seorang Sultan Ottoman atau Khalifah Uthmaniah dalam format republik dan geopolitik moden.

Bagi Pakatan Harapan, mereka mempunyai hubungan istimewa dengan Erdogan. Beliau memmpunyai hubungan rapat dengan kedua-dua Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sementara para pemimpin Parti Amanah Negara pernah dilabel sebagai kumpulan Erdogan ketika mereka berada dalam PAS dahulu.

Tetapi sebelum Erdogan, pemimpin yang menempa naa di dunia Islam adalah Dr Mahathir sejak beliau mula menjadi perdana menteri pada tahun 1981.

Dasar luar beliau memberi perhatian besar pada OIC hinggakan Malaysia aktif dalam usaha mencari jalan perdamaian dan kemerdekaan bagi umat Islam.

Pada awal lagi, beliau telah menjadikan Palestin sebagai perhatian utama. Hubungan baiknya dengan Pengerusi Pertubuhan Pebebasan Palestin (PLO), Yasser Arafat sudah menjadi satu legenda. Tetapi usaha beliau membantu dan turut menyumbangkan kepada perdamaian dengan kemerdekaan Bosnia Herzegovina sudah tercatat dalam sejarah.

Maknanya untuk menjadi pemimpin umat Islam global, seseorang ketua kerajaan tidak perlu menjadi Pengerusi OIC semata-mata.

Syarat ketua ummah

Sesiapapun di kalangan ketua kerajaan negara Islam boleh muncul sebagai ketua ummah jika mereka berfikiran penuh berwawasan untuk seluruh umat Islam.

Bagi Dr Mahathir, syarat utama dan pertama kekuatan ummah adalah menghentikan pembunuhan sesama Islam.

Menurutnya, ada orang Islam di dunia ini melanggar arahan Al-Quran yang menghalang umat Islam daripada berbunuh sesama sendiri.

Akibat peperangan terus yang berlaku dan berpanjangan di negara-negara Islam ini, ummah tidak dapat membangun dan maju. Hanya dengan adanya perdammaian, barulah dapat diadakan pembangunan.

Dalam kerajaan Pakatan Harapan, Dr Mahathir tidaklah boleh bertindak sebebas seperti mana beliai dalam Barisan Nasional. Dulu, parti beliau, Umno mempunyai kedudukan dominan. Kini Parti Pribumi Bersatu Malaysia pimpinannya adalah parti kecil dalam Pakatan Harapan.

Dalam dasar luar, beliau juga perlu mengambil kira dengan lebih besar pendirian parti lain seperti Parti Keadilan Rakyat, DAP dan Parti Amanah Negara.

Umumnya parti-parti itu tidak membantah kepimpinan Dr Mahathir dalam soal dasar luar yang berkaitan dengan negara-negara Islam.

Cuma pemimipin-peimpin berkenaan mungkin mempunyai kecenderungan pada sesebuah negara Islam atau pemimpin asing tertentu.

Antara Riyadh dan Tehran

Umpamanya, terhadap Turki dan Erdogan, PKR dan Amanah berkongsi kecenderungan. Antara Riyadh dan Teheran pula, mungkin ada juga perbezaan. Bersatu dan PKR akan lebih ke Riyadh, berbanding Amanah yang cenderung ke Teheran.

Walaupun DAP tidak akan campur tangan dalam hal ehwal dunia Islam, tetapi kecenderungannya adalah kepada demokratik Islam, umpaanya Tunisia.

Erdogan yang kini dilihat kurang demokratik mungkin sudah tidak disenangi oleh DAP. Tetapi itu hanyalah andaian melalui pemerhatian dari luar mengikut gelagat para pemimpin parti komponen Pakatan Harapan itu.

Kalau mengenai Palestin, semua parti politik Malaysia, baik dalam kerajaan mahupun pembangkang, mereka adalah sejalan.

Dari awal lagi Malaya dan Malaysia aktif dalam soal Palestin termasuklah dalam penubuhan OIC yang berpunca dari peristiwa pembakaran ke atas Masjid Al-Aqsa pada tahun 1969 yang mendorong Raja Arab Saudi, Almalik Faisal memanggil suatu Persidangan Islam yang menghimpun pemimpin-pemimpin negara Islam.

Ini membawa kepada ia dijadikan Pertubuhan Persidangan Islam, sebelumm ditukar namanya kepada Pertubuhan Kerjasama Islam.

Tunku Abdul Rahman yang baru melepaskan jawatan Perdana Menteri dilantik sebagai Setiausaha Agung Sekretariat Islam yang beribu pejabat di Riyadh.

Jadi pemimpin Malaysia adalah yang pertama menjadi ketua urus setia badan tersebut. Kini Setiausaha Agung disandang oleh seorang warga Arab Saudi.

Mungkin masa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan kali ini, Malaysia akan kembali lebih aktif dalam OIC dan warganya boleh menyandang jawatan tinggi dalam pertubuhan itu.

Untuk menjadi pengerusi, Malaysia perlu menjadi tuan rumah sidang kemuncaknya tetapi bagi jawatan setiausaha agung, Malaysia boleh mengemukakan calonnya apabila tempoh penyandang jawatan itu tamat.

—–
Zin, wartawan yang aktif pada 1980-an. Bekas pengarang Harakah dan editor kanan Utusan Malaysia.