Malaysia Dateline

Kerajaan Pas Kelantan digesa beli vaksin guna wang RM400 juta

AMANAH Kelantan hari ini mendesak Kerajaan Pas Kelantan agar memanfaatkan wang one off yang diterima sebanyak RM400 juta dahulu untuk diguna bagi tujuan pembelian vaksin Covid 19.

Menurut Timbalan Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed, kadar jangkitan Covid-19 di Kelantan terus mencatatkan peningkatan dengan angka yang semakin menggerunkan, malangnya proses suntikan vaksin di negeri ini masih lagi rendah.

“Semakan kita di laman web JKJAV untuk Kelantan hari ini menunjukkan hampir 360 ribu sudah mendaftar, tetapi yang baru disuntik vaksin hanya lebih kurang 73 ribu atau 6 peratus dari jumlah yang mendaftar”.

“Jadi selain dari kempen daftar untuk vaksinasi, Kerajaan Pas Kelantan juga mesti ada inisiatif untuk bantu ringankan beban Kerajaan Persekutuan melalui pembelian tambahan vaksin ini untuk diagih kepada rakyat”, kata beliau yang juga Ketua AMANAH Kawasan Ketereh.

Katanya, sebelum ini Pengerusi AMANAH Kelantan turut mendesak Kerajaan Pas Kelantan supaya mengguna duit RM 400 juta itu untuk pakej bantuan dan sumbangan kepada rakyat, tapi pihak kerajaan negeri masih diam tanpa sebarang maklum balas

“Kali ini, kita minta supaya Kerajaan Pas Kelantan realisasikan slogan Membangun Bersama Islam dengan beli vaksin guna duit RM 400 juta itu untuk kebajkan dan kesejahteraan rakyat kita.

“Adakah para pimpinan Kerajaan Pas Kelantan sudah pekak telinga buta mata tak lihat situasi Covid 19 di negeri kita sudah semakin parah, rakyat hidup semakin susah, tapi ada duit RM 400 juta yang diberi percuma, masih tak mahu guna untuk rakyat?”, bidas beliau kepada Kerajaan Pas Kelantan.

Setakat hari Ahad, Kelantan menunjukkan peningkatan jumlah kes jangkitan Covid 19 dan beberapa daerah serta kampung di negeri ini sudah dikenakan PKPD.

Walau bagaimanapun, Kerajaan Pas Kelantan masih diam membisu tanpa sebarang pengumuman sama ada untuk menyalurkan pemberian bantuan kewangan kepada rakyat, atau membuat pembelian tambahan vaksin untuk mempercepatkan proses vaksinisasi kepada rakyat.

Sehingga kini, Kerajaan Pas Kelantan masih belum membuat sebarang pengumuman berhubung status terkini wang one off RM 400 juta yang diterima dahulu, sama ada sudah digunakan, atau masih tersimpan dalam perbendaharaan negeri, walaupun kes Covid 19 semakin parah dan rakyat negeri ini sudah semakin hidup susah akibat perlaksanaan PKP yang berlarutan.

Kerajaan Pas Kelantan memberitahu bahawa mereka telah menerima bantuan sekali beri atau ‘one-off’ sebanyak RM400 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata surat khas mengenai bantuan berkenaan diterima daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 17 Disember lalu sebelum wang dimasukkan pada 25 Disember 2019.