Kerajaan Pas pilih Tommy Thomas sebagai peguam mereka sebelum ini

Tommy menjadi pilihan sebagai peguam ketika kerajaan Terengganu pimpinan Hadi menyaman Petronas.

Pas diberikan ingatan bahawa kedua-dua kerajaan mereka, Kelantan dan Terengganu adalah antara pihak yang mendapat khidmat guaman peguam terkenal Tommy Thomas yang kini dicadangkan menjadi Peguam Negara yang baru.

Sehubungan itu, ahli parlimen Sepang yang juga seorang peguam, Mohamed Hanipa Maidin mengingatkan Pas agar jangan cepat pelupa.

“Jangan jadi cepat pelupa. Dulu parti suci perintah Terengganu bila saman Petronas dan kerajaan isu royalti, dah lupa ke yang kerajaan Terengganu pakai khidmat peguam Tommy Thomas,” kata Hanipa merujuk kepada kerajaan Terengganu 1999 – 2004 yang dipimpin oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan antara pihak yang membantah pemilihan Tommy Thomas sebagai calon Peguam Negara.

“Apakah tidak ada tokoh peguam lain yang lebih berkaliber malah mampu menasihati pemerintah dalam perkara yang memberi kebaikan kepada kedudukan agama dalam negara ini khasnya berkait hubungan agama dengan undang-undang negara,” kata Nasrudin yang kalah di Indera Mahkota dalam PRU 14 baru-baru ini.

Hanipa berkata, beliau mendapat maklumat, bekas ketua hakim negara yang mencadangkan agar Tommy dilantik sebagai peguam negara yang baru.

Sementara itu sumber memaklumkan, Tommy dicadangkan dilantik secara kontrak selama dua tahun sebagai Peguam Negara.

Ini kerana, beliau mahu dibebaskan untuk menjadi peguam semula selepas itu.

Beliau dipilih bagi membolehkan Peguam Negara yang baru boleh mengendalikan kes penyelewengan yang berprofil tinggi termasuk kes 1MDB yang dijangka akan menjadi tumpuan selepas ini.

Isu cadangan beliau sebagai Peguam Negara menimbulkan polimik kerana ia Peguam Negara pertama dari kalangan bukan Melayu.

Hanipa dalam satu kenyataannya berhujjah, isu kaum dan agama patut diketepikan buat masa sekarang kerana kepakaran menjadi keutamaan.

“Secara jujur dan dengan andaian cadangan calon Peguam Negara itu adalah benar, maka saya menyokong sepenuhnya cadangan tersebut tanpa ada sedikit pun apa-apa keraguan.

“Calon tersebut, bagi saya, bukan sahaja berpengetahuan dan berpengalaman mendalam dalam undang-undang, malahan yang lebih penting, setakat yang saya kenal beliau, beliau adalah seorang peguam senior yang berintegriti amat tinggi – ciri penting yang perlu ada bagi seorang Peguam Negara,” kata Hanipa.

Bagi Hanipa, Malaysia adalah untuk semua bukan untuk bangsa, kaum atau agama tertentu.

“Kita semua ada peranan dan tanggugjawab untuk bangunkan Malaysia Baru. Politik perkauman sempit, maaf, sudah jadi sejarah!” katanya.

8.9
OVERALL SCORE
: 10.0
7 user votes x 8.7