Malaysia Dateline

Kerajaan Pas Terengganu main silap mata korporat

Isu anak syarikat kerajaan Terengganu, TDM Bhd hendak membeli Syarikat Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd semakin hangat diperkatakan sehingga surat kepada Menteri Besar tersebar.

Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, jika benar tujuannya itu sudah tentu ramai pengurusan dan kakitangan Ladang Terengganu amat tidak berpuas hati.

“Ramai yang telah menyoal, adakah benar TDM tidak mengemukakan penyata tiga tahun berturut-turut sejak 2018 dan mengapa Menteri Besar sendiri membisu dalam isu ini kalau keadaan kewangannya baik dan sihat?

“Ada yang bertanya adakah TDM ingin memiliki Syarikat Peladang Terengganu yang untungnya lumayan saban tahun untuk cuba menampung bebanan hutang TDM yang dikatakan tinggi?” bidasnya dalam kenyataan hari ini yang dimuatkan dalam Facebook.

Beliau turut berkongsikan petikan awal surat bertarikh 6 April kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bertajuk ‘Perkembangan Semasa Isu-isu Ladang Rakyat Trengganu Sdn. Bhd.’

Mengulas lanjut, Raja Kamarul berkata, sikap tidak bertanggungjawab kerajaan negeri dan Menteri Besar yang enggan menjawab soalan-soalan penting tentang TDM dan isu-isu negeri amat mengecewakan rakyat Terengganu.

“Isu protes ramai kakitangan Peladang Terengganu tentang cadangan TDM hendak mangambil alih syarikat tersebut membuktikan sikap kerajaan Islam Pas ingin bermain silap mata korporat,” katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri diterajui Pas menggunakan syarikat untung tinggi seperti Ladang Terengganu untuk cuba menyelamatkan syarikat TDM yang sudah tiga tahun tidak mengemukakan penyata syarikat dan dipercayai rugi teruk.

“Adakah ini disebabkan para “ulama” Pas tidak tahu hendak mengendalikan syarikat dan negeri atau adakah ini memang sikap sebenar pimpinan negeri Terengganu hari ini yang tidak bertanggungjawab?” tempelaknya.

Oleh sebab itu, bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu tersebut berkata, rakyat jelas telah bosan dengan gelagat Menteri Besar dan Exco kerajaan negeri yang memperoleh perlbagai kesenangan kewangan termasuk bayaran terus royalti minyak tetapi kepentingan dan kebajikan rakyat terus diabaikan.