Malaysia Dateline

Kerajaan pastikan Bahasa Melayu dimartabatkan lebih tinggi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kerajaan tidak akan meminggirkan Bahasa Melayu, malah kedudukannya akan terus dimartabatkan dan diangkat tinggi, hingga ke persada antarabangsa.

Beliau berharap Bahasa Melayu menjadi bahasa utama di rantau ASEAN serta menjadi satu daripada bahasa pengantara utama di peringkat global menjelang Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Kedudukan Bahasa Melayu akan terus dimartabatkan apabila Malaysia dibaris sebagai satu daripada 20 buah negara paling berjaya di dunia nanti,” katanya pada Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya malam tadi.

Hadir sama ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Najib turut melahirkan harapan supaya penguasaan Bahasa Melayu akan terus melambangkan jati diri bangsa dan konteks seharian menerusi petuturan dan penulisan yang betul dari segi penggunaan dan tatacara, terutamanya di media sosial.

“Apabila kita menggunakan media-media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan SMS sering terjadi penggunaan tatabahasa yang tunggang-langgang atau ejaan tidak betul.

“Saya berharap kita tidak cenderung mengikut trend ini yang sebenarnyaakan menghakiskan kedudukan Bahasa Melayu,” katanya.

Najib turut mengingatkan semua pihak mengenai cabaran di era teknologi komunikasi dan maklumat termasuk ambang gelombang Revolusi Industri Keempat dan Ekonomi Digital yang menjadikan dunia kini semakin menarik dan mencabar.

Katanya semua pihak wajar mengambil inisiatif di ruang siber yang terbuka itu untuk mengembang dan mempromosikan lagi Bahasa Melayu sebagai bahasa utama yang dinamik serta terus relevan, bergerak seiring dengan kemajuan ekonomi digital.

Najib berkata penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan rakyat di negara ini dilakukan secara terancang dan tersusun lagi inklusif, selain menyantuni serta meraikan bahasa-bahasa utama lain, termasuklah Bahasa Inggeris, tanpa perlu ‘menghapus’ serta ‘meminggirkannya’.

“Bahasa Melayu telah merupakan wahana dalam membentuk perpaduan rakyat di negara ini. Sebagai sebuah watan yang terdiri daripada masyarakat majmuk, selama ini, Bahasa Melayu telah dijadikan tali pengikat dalam membina suasana masyarakat yang tenteram, damai lagi sejahtera,” katanya.

Najib turut menyeru agar semua peserta PABM tidak berhenti atau jemu dalam mempelajari Bahasa Melayu.

“Kami menganggap saudara dan saudari merupakan duta kecil kami dalam memperkasa Bahasa Melayu bukan setakat di negara masing-masing bahkan harum megah ke seantero dunia,” katanya.

Pertandingan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori Antarabangsa, Alam Melayu (dahulunya dikenali sebagai kategori Nusantara) dan Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM)

Peserta dari Jepun, Lisa Shimazaki dinobatkan Johan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2017 (PABM) bagi kategori Antarabangsa.

Pelajar dari Tokyo University of Foreign Studiesitu memilih tajuk ‘Bahasa Bukan Sekadar Alat untuk Berkomunikasi, Bahasa Adalah Segala-galanya’ berjaya mengalahkan dua lagi pesaing dalam pertandingan akhir ini.

Beliau membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000, piala Perdana Menteri dan hadiah iringan serta sijil.

Bagi kategori sama, peserta dari China, Ma Xiao yang memilih tajuk ‘Membaharui Sistem Pendidikan, Mengatasi Cabaran Ekonomi’ diumumkan sebagai Naib johan manakala peserta Uzbekistan Rimajon Sotlikova dengan tajuk ‘Peranan Bahasa Melayu di Uzbekistan’ meraih tempat ketiga.

Bagi kategori Alam Melayu, peserta Afghanistan, Abdul Matin yang memilih tajuk ‘Dirgahayu, Bahasa Melayu’ muncul johan, naib johan peserta Yemen, Abdulrahman Khaled Hasan Saeed manakala tempat ketiga disandang peserta dari Palestine, Hassan Radwan Jamal Elatrash.

Bagi kategori Alam Melayu, peserta dari Malaysia, Noor Haqim Noor Hamiddon yang memilih tajuk ‘Pesan Seniman’ muncul juara manakala naib johan diraih Ahmad Aidil Hadri Sa\’dullah (Singapura) dan tempat ketiga disandang Muhamad Sharulnizam Md Roni (Malaysia).

Johan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000, piala Perdana Menteri, hadiah iringan serta sijil.

Naib johan setiap kategori pula memenangi wang tunai RM12,000, piala dan hadiah iringan serta sijil manakala tempat ketiga menerima wang tunai RM8,000, piala dan hadiah iringan serta sijil.

Sejumlah 53 peserta daripada 35 buah negara menyertai PABM yang memasuki edisi ke-11 dengan tema ‘Pengantarabangsaan Bahasa Melayu’ berpadanan dengan konsep memartabatkan Bahasa Melayu pada mata dunia.

.PABM, cetusan idea Najib, merupakan acara tahunan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM).