Malaysia Dateline

Kerajaan patut hulur, bukan minta rakyat keluar duit sendiri

AMANAH membantah keputusan kerajaan yang mengumumkan Ahli Wang Simpanan Kumpulan Pekerja (KWSP) boleh mengeluarkan wang simpanan mereka bertujuan mengurangkan bebanan kewangan rakyat ekoran wabak Covid-19.

Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, langkah tersebut bukanlah berita baik oleh kerana rakyat terpaksa mengeluarkan wang sendiri dan ia bukan merupakan bantuan dari kerajaan.

Apa yang menghairankan katanya, apabila ada bekas Menteri dari Pakatan Harapan (PH) di bawah Kerajaan Perikatan Nasional turut menggangap perkara tersebut sebagai berita baik.

“Inilah bagaimana seseorang yang bersama kelompok BN-Umno boleh begitu cepat berubah prinsip dan nilai seseorang apabila di dalam kerajaan baru hari ini.

“Kalau dahulu penggunaan wang sendiri untuk ‘keuntungan’ adalah tidak betul, hari ini kegunaan wang simpanan sendiri pula adalah ‘berita baik’.

“Kerajaan patut menghulur bantuan kepada rakyat yang sedang susah dan bukan meminta mereka keluarkan wang mereka sendiri yang patut digunakan pada usia tua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga mengaitkan dengan situasi di mana topeng muka sepatutnya diberikan secara percuma kepada rakyat dan bukan menjualnya dengan harga tinggi kepada orang ramai.

Beliau turut membangkitkan persoalan bagaimana negara utara Thailand dan selatan Singapura boleh membekalkan topeng dengan percuma, namun tidak Malaysia.

“Di manakah keperhatinan kerajaan Malaysia terhadap rakyat nya?

“Rakyat mestilah didahulukan dalam saat negara dan rakyat menghadapi masalah kewangan dan kesihatan berhadapan krisis Covid-19,” katanya.