Malaysia Dateline

Kerajaan pecat semua anggota JK Teknikal Syarak dan Sivil

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menamatkan khidmat anggota Jawatankuasa Teknikal Syarak dan Sivil yang terletak di bawah Menteri Di Jabatan Perdana Menetri (Hal Ehwal Agama) mulai 14 Ogos walaupun kontrak mereka sepatutnya tamat hujung 2021.

Menurut sumber, kesemua anggota jawatankuasa yang terletak di bawah Jakim ini ditamatkan kontrak mereka tanpa diberikan alasan yang jelas melalui satu surat bertarikh 14 Ogos 2020 yang ditandatangani oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Al Bakri..

Turut dipecat adalah pengerusinya Tan Sri Sheikh Ghazali bin Haji Abdul Rahman bersama para anggotanya termasuk Datuk Dr Hasan Abd Rahman, Dr Nik Rahim Nik Wajis, Prof Dr Najibah Mohd Zain, Dr Zulqarnain Lukman, Norazmir Zakaria, Ustaz Fauwaz Fadzil dan Dr Mohd Al Adib Samuri.

“Kesemua anggota termasuk yang dilantik sejak ia ditubuhkan bersama Profesor Ahmad Ibrahim telah dipecat. Padahal ketika PH memerintah, jawatankuasa ini dikekalkan bahkan ditambahbaik,” kata satu sumber kepada Malaysia Dateline.

Antara tugas utama jawatankuasa ini ketika kerajaan Pakatan Harapan adalah menyelaras dan menyeragamkan undang-undang syariah antara negeri yang sebelum ini berbeza antara satu sama lain.

Menteri Agama ketika itu, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof memaklumkan Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil di bawah urusetia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan berbincang dengan negeri-negeri untuk tujuan berkenaan.

Katanya, perbincangan bagi menyeragamkan undang-undang syariah antara negeri akan dibuat, antara lain melalui forum seperti Majlis Dialog Undang-Undang dan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil.

“Ketidakseragaman ini boleh membawa kepada ketidakadilan terhadap tertuduh dan pihak-pihak yang berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) mengenai usaha yang telah dilakukan bagi penyelarasan dan penyeragaman undang-undang Syariah di seluruh negara, pada persidangan Dewan Rakyat.